BERBINCANG……Abdul Rahman (dua dari kanan) berbincang dengan Noor Rashid, (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh Japlin pada majlis itu.
Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI
Setiausaha Barisan Nasional Sabah, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, Parti Barisan Nasional perlu memberi peluang kepada kompenan parti untuk memberi pandangan terutamanya dari pandangan peringkat akar umbi.
Menurut Abdul Rahman, dalam politik kita harus mendengar apa yang disuarakan oleh kompenan parti dari peringkat akar umbi.
Katanya, di dalam konsep Barisan Nasional semua pandangan akan diperhalusi di peringkat atasan dan keputusan yang dibuat oleh Presiden Parti Barisan Nasional adalah muktamad.
“Jadi tidak timbul soal samada Pengerusi Barisan Nasional ataupun Kerajaan tidak mengambil kira pandangan parti komponen, sebelum ini kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh parti komponen tidak terkecuali kenyataan dari para pemimpin Parti Umno turut kita ikuti dari media massa, kita dengar pandangan mereka dan kita tidak harus melatah.
“Cuma apa yang kita harapkan kepada semua pemimpin ialah supaya jangan terlalu melatah dengan pandangan-pandangan yang diberikan terutamanya yang ada kaitan dengan pemberian kerusi kawasan pilihanraya.”
Beliau berkata demikian di Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Balai Polis Dearah Kota Belud kepada media ketika diminta mengulas mengenai kritikan Parti Upko terhadap Barisan Nasional yang tersiar di media tempatan, baru-baru ini.
Tambah Abdul Rahman, Parti Upko juga adalah salah satu parti komponen yang menganggotai Kerajaan; Tan Sri Bernard Dompok juga seorang Menteri Kabinet yang bertemu dengan Perdana Menteri setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet sementara di dalam Kerajaan negeri Parti Upko mempunyai wakil.
Menurutnya, hebatnya Barisan Nasional ini ialah akhirnya Presiden-Presiden Parti akan duduk bersama dengan Pengerusi Barisan Nasional iaitu Perdana Menteri, Presiden-Presiden Parti ini masing-masing akan memberi fakta, hujah mereka dan akhirnya Perdana Menteri akan memberikan keputusan yang terbaik hasil dari perbincangan tersebut.
“Pengalaman saya sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman saya dapat melihat secara dekat bagaimana proses untuk pengagehan kerusi ini berlaku, semua dijalankan dalam semangat setia kawan,” terangnya lagi.
Menjawab soalan lain dari media, tidakkah kritikan dari Parti Upko dan parti-parti lain dalam kompenan Barisan Nasional ini akan mengugat kestabilan Barisan Nasional dan memberi peluang kepada pada parti pembangkang untuk memecah belahkan Parti Barisan Nasional?
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berpendapat bahawa kritikan serta pandangan yang diluahkan oleh parti komponen Barisan Nasional tidak sedikitpun mengugat semangat setia kawan di kalangan parti komponen Barisan Nasional.
Menurutnya, setelah 50 tahun, Barisan Nasional sudah matang.Apapun perbezaan pendapat itu adalah sebagai satu kelebihan, sebagai satu perkara yang mematangkan parti komponen Barisan Nasional lagi.
“Cuma yang penting kita jangan biarkan perbezaan pendapat ini melarat jadi isu yang besar, pada saya meluahkan pandangan adalah salah satu kekuatan Parti Barisan Nasional dan saya pasti ianya diluahkan bukan sahaja di media tetapi di dalam mesyuarat-mesyuarat kabinet, mesyuarat-mesyuarat Barisan Nasional peringkat Negeri dan Persekutuan.”
“Perbezaan pendapat adalah satu perkara biasa, di dalam mesyuarat tahunan perwakilan Parti Umno di Bahagian-Bahagian di seluruh negara, kita juga membeikan ruang kepada para perwakilan untuk memberi pandangan mereka, walaupun mungkin pandangan itu agak berbeza dengan pandangan atasan tetapi ini adalah demokrasi yang terbaik,” tambahnya lagi.
Hadir sama selain tetamu kehormat pada majlis itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim ialah Wakil Rakyat Usukan Sabah, Datuk Japlin Akim; Wakil Rakyat Kadamian, Datuk Herbert Timbun Lagadan; Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal; Ketua Polis Daerah Kota Belud, DSP Mohan Nadasen serta para pemimpin setempat yan lain.
No comments:
Post a Comment