PROTES… Penduduk berhimpun di luar gereja SIB Kg.Enubai yang akan dibongkar pada bila-bila masa apabila JKR mengarahkan kawasan itu dikosongkan untuk projek pembangunan.
Oleh : MAIL MATHEW
KIRA-KIRA 200 penganut Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) di Kg.Enubai, Tenom merayu ehsan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman untuk menyelesaikan isu masalah tanah rezab milik SIB untuk tapak gereja tetapi ‘dirompak’ Jabatan Pelajaran Daerah untuk membina bangunan asrama sekolah.
Jurucakap SIB, Ayub Linau, 50, yang juga Ketua Gereja di situ berkata demikian kepada media pada Isnin sambil menjelaskan bahawa tapak tersebut sewajarnya diperuntukkan kepada SIB sejak tahun 1960-an lagi iaitu ketika era kerajaan USNO.
Tegasnya, sudah tiba masanya penganut SIB memerlukan tapak tersebut untuk kegunaan pembinaan gereja dalam usaha mengembangkan lagi pendidikan agama mereka yang semakin meningkat bilangannya ketika ini.
CEROBOH…. Bangunan asrama SK Enubai yang didirikan di atas tapak yang dikhaskan untuk Gereja SIB sejak era kerajaan USNO.
“Tapak sekolah sebenarnya berada di Kg Tampayak. Ketika itu dikenali sebagai GPS Tampayak, tetapi apabila tapak itu mengalami hakisan sungai dan tanah runtuh, lalu berpindah ke tapak gereja SIB di Kg Enubai atas persetujuan sementara Ketua Kampung ketika itu, K.K. Dagang bin Tangau. Tetapi sekarang ini, sudah lain ceritanya,” tegas Linau.
Menurut Linau, persetujuan Ketua Kampung ketika itu hanyalah atas prinsip kecemasan dan wajib dikembalikan kepada SIB setelah sekian lama digunakan; apatah lagi beliau percaya SK Enubai telah mendapat tapak yang tetap.
Ayub Linau yang juga merupakan pewaris tanah rezab SIB seterusnya berkata, tanah rezab tersebut khusus untuk gereja SIB dan telah terdaftar dalam pelan di kawasan kampung tersebut untuk pembangunan gereja di Jabatan Tanah Keningau dan sepatutnya ia tidak boleh dibangunkan oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran SIB selaku pemilik tapak.
“Tapak sekolah yang ada sekarang adalah milik tanah simpan gereja dengan bukti LA A88160465 dalam resit bernombor 12114105 dalam era pemerintahan USNO. Mana mungkin ia boleh berpindah milik dengan semudah itu tanpa perbincangan dari majlis pemegang amanah gereja SIB terlebih dahulu,” tegas Linau.
Sementara itu, Jurucakap Pejabat Tanah di sini ketika dihubungi menjelaskan bahawa isu pertikaian tanah tersebut telahpun dimajukan kepada pihak atasan untuk tindakan penyelesaian kerana tapak tersebut masih berstatus ‘state land’ dan belum dimiliki oleh mana-mana pihak.
Jurucakap tersebut seterusnya meminta penduduk terbabit agar bersabar kerana pihak jabatan sedang dalam tindakan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
hubungi saya 0164619624
ReplyDelete