BERKAS....Kelihatan
lelaki yang diberkas kerana mencederakan anggota polis.
Oleh : AMIR ANUAR
TAWAU: Seorang lelaki warga
asing diberkas oleh pihak polis akibat tindakannya menumbuk muka seorang
anggota polis yang menasihatkannya agar beredar dari medan selera Sabindo,
Jalan Chen Fook di sini, kira-kira jam 3 pagi Ahad lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah
Tawau, Superitendan Keong Ho Eng, yang dihubungi di sini kelmarin mengesahkan
kejadian terbabit dan mendedahkan bahawa lelaki itu yang berumur 31 tahun kini
ditahan reman sehingga 24 November ini.
“Suspek disiasat mengikut
Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam
semasa menjalankan tugas,” katanya sambil memberitahu anggota polis terlibat
telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Dalam pada itu, difahamkan
sebelum insiden itu berlaku salah seorang pekerja di sebuah gerai makanan
menghubungi pihak polis mengenai kehadiran lelaki terbabit yang berkelakuan
mencurigakan.
Menurut salah seorang saksi
kejadian yang enggan dikenali, lelaki terbabit sering keluar-masuk di bahagian
dapur di sebuah gerai untuk meminta pisau, namun pekerja di gerai terbabit
enggan mengikuti kemahuan lelaki berkenaan.
Orang awam yang berada di
medan selera berkenaan yang terletak di pusat bandar dikatakan berasa bimbang
dengan keselamatan diri mereka selepas melihat tindak-tanduk lelaki itu yang
terus mundar-mandir di kawasan kejadian.
Susulan daripada itu, lima
penguatkuasa Rondaan Cegah Jenayah yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela tiba di lokasi kejadian untuk memantau
keadaan di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, lelaki itu
menjadi berang apabila diminta beredar meninggalkan lokasi berkenaan dan
melepaskan satu tumbukan ke muka salah seorang anggota polis hingga
mencederakan anggota penguatkuasa terbabit.
Saksi turut memberitahu
bahawa berlaku pergelutan di antara lelaki terbabit dengan pihak penguatkuasa
apabila lelaki berkenaan terus enggan memberikan kerjasama semasa hendak diperiksa.
Lelaki itu juga dikatakan
sempat mengeluarkan kata-kata yang mencabar pihak polis agar melepaskan
tembakan ke atas dirinya sebelum berjaya diberkas dan dibawa ke IPD Tawau untuk
tindakan susulan. (UB)
No comments:
Post a Comment