HARAM.....Bot
menggunakan pukat jenis rawai menangkap ikan di kawasan larangan.
Oleh : SITI AISYAH NARUDIN
KOTA KINABALU: Sebuah bot
nelayan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti
penangkapan ikan tanpa menghidupkan lampu bot. Dipercayai, nelayan yang menggunakan
bot jenis rawai itu melanggar syarat lesen dengan menarik pukat kurang tiga
batu nautika daripada pesisiran pantai Usukan, Kota Belud.
Dalam kejadian kira-kira jam
1 pagi Khamis lepas, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan
kesemua awak-awak bot terbabit yang juga warganegara Indonesia.
Ketua Penguatkuasa Daerah
Maritim Kota Kinabalu, Kapten Maritim Amir Azwa Alias berkata tindakan
awak-awak berkenaan mematikan lampu bagi mengelak kegiatan mereka diketahui
pihak berkuasa.
Menurutnya, hasil siasatan
lanjut turut mendapati dokumen awak-awak berkenaan bersama tekong diragui dan
akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Bot terbabit ditunda ke
jeti APMM untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan
bagi kesalahan menarik pukat di bawah tiga batu nautika,” katanya dalam satu
kenyataan di sini kelmarin.
Sehubungan itu, beliau
menasihatkan kepada semua nelayan agar memastikan dokumen pengenalan diri dan
lesen lengkap dibawa sebelum keluar menangkap ikan.
Jelasnya, para nelayan juga
sepatutnya tidak melanggar syarat sah lesen sebagaimana yang ditetapkan oleh
pihak berkuasa. (UB)
No comments:
Post a Comment