Tuesday 14 May 2013

LANTIK BUMIPUTERA PRESIDEN MPS






SANDAKAN: Pihak kerajaan wajar mempertimbangkan jika wujudnya cadangan bagi melantik jawatan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di kalangan kaum Bumiputera berikutan sudah tiba masanya untuk memberikan peluang kepada mereka yang benar-benar layak.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Sandakan, Abdul Hamid Sabal, berkata ini kerana tidak dinafikan kebolehan menjawat jawatan tertinggi meletakkan kaum berkenaaan sebaris sekali gus tiada masalah sekiranya diserap sehingga memegang jawatan presiden.

Beliau berkata, bukan sahaja mengambil kira kualiti penjawat awam Bumiputera yang telah menunjukkan peningkatan malahan cadangan sedemikian dilihat mampu memperkasakan ekonomi masyarakat berkenaan.

“Saya tidak berniat atau menidakkan kuota yang sedia ada tetapi dari segi kelayakan maka sudah tiba masanya untuk melantik kaum bumiputera memegang jawatan presiden.

“Lagi pun, kalau dilihat penyertaan kaum ini dalam bidang perniagaan semakin bertambah baik berbanding sebelumnya … saya percaya ramai yang menyokong memandangkan cadangan seumpama ini sudah lama dinanti-nantikan,” katanya kepada New Sabah Times di sini, kelmarin.

Sehubungan dengan itu, Hamid berkata terpulang kepada pihak kerajaan untuk menentukan siapa yang layak memegang jawatan presiden keranan kuota bagi jawatan berkenaan telah pun wujud sejak sekian lama.

Namun demikian, kata beliau, hakikatnya ramai di kalangan masyarakat Bumiputera terutama golongan peniaga turut berpendapat bahawa kaum bumiputera juga layak untuk memegang jawatan itu.

“Sudah sampai masanya untuk melantik Bumiputera menjadi presiden kerana berdasarkan potensi dan kelayakan sekurang-kurangnya perlu ada usaha mahu pun cadangan bagi menampilkan mereka.

“Bahkan, masyarakat Bumiputera juga pada hemat saya perlu diberikan pujian sebab dari sudut perjuangan politik, mereka adalah merupakan penyokong kuat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) khasnya di kawasan ini.

“Ini adalah cadangan berdasarkan pandangan … saya tidak berniat untuk menidakkan kuota sedia ada, terpulang pada pihak kerajaan,” ujarnya.(ST)

No comments:

Post a Comment