SHAH ALAM : Mahkamah Tinggi
di sini hari ini mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja
ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga
individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hakim Datuk Akhtar Tahir
memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal
menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pathmanabhan serta tiga
pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa
membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad
Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan, 43,
Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan
itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul
8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen
302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang
memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd
Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa
Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer
Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi. (Bernama)
No comments:
Post a Comment