KALAH.....Mat
Sabu kalah dalam dua PRU bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 2004 dan
Parlimen Kuala Terengganu pada 2008.
PENDANG : Calon Barisan
Nasional (BN) Datuk Othman Abdul menghadiahkan ‘hattrick’ kalah pada pilihan
raya umum (PRU) kepada Mohamad Sabu apabila mengalahkan Timbalan Presiden PAS
itu bagi kerusi Parlimen Pendang pada PRU ke-13.
Mohamad atau lebih dikenali
sebagai Mat Sabu kalah dalam dua PRU bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 2004
dan Parlimen Kuala Terengganu pada 2008.
Othman, 62, memperoleh
32,165 undi, menang dengan majoriti 2,638 undi.
Pendang adalah antara kubu
kuat PAS di Kedah yang dikuasai parti itu sejak memenanginya pada PRU 2004 dan
2008.
Othman pernah menang di
kerusi Parlimen Pendang pada PRU 1986, 1990 dan 1995.
Beliau tewas kepada Presiden
PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada PRU 1999 tetapi menang semula pada
pilihan raya kecil 2002 berikutan kematian Fadzil. Beliau tidak bertanding pada
PRU 2004 dan 2008.
Othman dan Mat Sabu tidak
hadir semasa Pegawai Pengurus Parlimen Pendang, Md Nordin Yahya mengumumkan
keputusan di Dewan Al-Marbawi Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang kira-kira
pukul 11.25 malam.
Hanya penyandang kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob daripada BN yang
mengekalkan kerusinya sahaja yang hadir.
Datuk Mohamad Taulan Rasul
daripada PAS yang turut mengekalkan kerusi DUN Tokai sejak 2004 juga tidak
hadir.
Di luar dewan, sekumpulan
golongan muda penyokong PAS cuba menimbulkan kekacauan tetapi bagaimanapun
dapat ditenangkan oleh pemimpin parti setelah diberi amaran oleh polis sebelum
mengambil tindakan.
Suraya yang sempat ditemui
berkata beliau mungkin bertuah kerana merupakan penyandang selain banyak
dibantu oleh populariti Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Katanya bilangan pengundi
wanita yang melebihi lelaki, dijadikan kumpulan sasar untuk meraih undi namun
agak hampa kerana undi yang diperoleh calon PAS juga meningkat.
“Ini yang perlu dilihat dan
diperincikan mengapa ia terjadi. Walaupun majoriti saya peroleh meningkat,”
katanya.
Mengenai kemenangan Othman,
Suraya yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Pendang berkata bekas anggota
Parlimen Pendang itu masih mempunyai pengaruh kuat dan dipandang tinggi oleh
masyarakat di Pendang.
Pada pertandingan empat
penjuru di kerusi DUN Sungai Tiang, Suraya menang dengan majoriti 6,994 undi
menewaskan calon PAS Fadzil Baharum, calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air
(KITA) Charean Isen dan calon Bebas Rosli Omar (Bebas). (Bernama)
No comments:
Post a Comment