Thursday, 14 July 2011

FESTIVAL SANDAKAN MENJANJIKAN KEMERIAHAN



WAWANCARA....Hj Alipudin kelihatan sedang diwawancara oleh Sabahkini.Net sambil diperhatian oleh dua orang AJK persatuan tersebut.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

FESTIVAL Sandakan 2011 yang disambut pada hari pertama berjaya menambat hati orang ramai dan pelancong yang datang untuk memeriahkan festival berkenaan di Dewan Masyarakat Sandakan, bermula kelmarin.

Dalam temuramah khas dengan Sabahkini.Net, Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau (SAMA) Sandakan, Hj Alipudin KK Hj Puyon menjelaskan tujuan pertandingan tarian dan persembahan nyanyian etnik yang diadakan pada hari ini adalah sebagai pengisian dan sajian sempena sambutan Festival Sandakan untuk ditonjolkan kepada para pelacong asing yang kerap berkunjung ke daerah Sandakan .

Selain itu kata Hj Alipudin, lebih menjurus kepada menarik minat generasi muda supaya berkecimpung dalam satu-satu kebudayaan daripada etnik dan suku kaum masing-masing supaya tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, ia juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang terdiri daripada remaja dan belia supaya tampil mempelajari selok belok tarian-tarian kebudayaan masing-masing; agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya barat, terutama yang bertentangan dengan adab sopan ketimuran.

AKSI....Sebahagian Persembahan tarian etnik yang dipersembahkan di atas pentas.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat SAMA, Mohamed Hj Utung menjelaskan semua keputusan petandingan tarian kebudayaan daling-daling dan pertandingan nyanyian akan diumumkan pada 17 Julai ini sempena penutupan Festival Sandakan 2011 yang bakal disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Au Kam Wah.

Program yang bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 9.00 malam telah diserikan oleh pelbagai acara menarik, antaranya pertandingan Tarian Daling-Daling di samping mengetengahkan tarian-tarian kebudayaan Kadazan, Sungai, Bajau, Bugis, Jawa, Bajau, Suluk, Tiong Hwa dan Brunei yang disumbangkan oleh persatuan etnik masing-masing.

Pertandingan Tarian Daling-Daling (tarian etnik Bajau) telah disertai 16 kumpulan tarian yang datangnya daripada beberapa kampung di sekitar Daerah Sandakan.

No comments:

Post a Comment