Wednesday 20 July 2011

ISU PATI DARI KACAMATA NEGARAWAN (SIRI II)


SIRI I

Oleh : MUTALIB M.D

MEMANG amat MEMALUKAN. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat terpaksa memilih jalan alternatif menyampaikan rasa tidak puas hati melalui jalan songsang iaitu menghantar Memorandum kepada DYMM Yang DiPertua Agong; memberikan gambaran Kerajaan Malaysia telah GAGAL secara TOTAL.

Ikuti Sambungan Siri Kedua Wawancara dengan Tan Sri Simon Sipaun berhubung isu di atas.

Mutalib: Bolehkah Tan Sri memberikan beberapa formula bernas yang boleh menyelesaikan masalah kewarganegaraan songsang yang semakin meruncing sekarang dan bolehkah Tan Sri memainkan peranan penting untuk menjayakan isu yang telah lama berlarutan?

SIMON: Sebelum memastikan sebarang formula mencapai kejayaan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu menetapkan pendirian tegas berhubung sempadan negara dengan mengamalkan dua prinsip utama.

Yang pertama menyelesaikan masalah PATI yang sedia ada di negara ini secara saksama kerana penghantaran mereka balik ke negara asal bukanlah jalan terbaik malah terlalu membebankan Malaysia.

Yang kedua, kerajaan hendaklah memastikan tidak ada lagi PATI yang dibawa masuk atau mendarat di negara ini yang sudahpun mempunyai lebih 1.75 juta PATI berbanding rakyat tempatan hanya 1.5 juta orang sahaja.

SONGSANG....Jika terdapat warga asing mendapatkan kerakyatan songsang sudah tentu akan menimbulkan kegusaran dan mencabul hak rakyat asal.

Adalah lebih berhemat, jika Kerajaan Persekutuan menghantar mereka ke negeri-negeri lain di Malaysia secara purata 125,000 orang PATI bagi setiap negeri terutama bagi masalah kekurangan tenaga buruh atau untuk kepentingan politik.

Mereka perlu diberikan dokumen sah sama ada melalui hubungan diplomatik ataupun menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Adalah tidak adil membiarkan Sabah bersendirian menanggung beban PATI, sedangkan kuasa Imigresen dan keselamatan di bawah tanggung jawab Kerajaan Persekutuan.

Boleh dikatakan PATI merupakan masalah yang terbesar di Sabah dan mungkin tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan atau sepenuhnya kerana jumlah mereka terlalu ramai sehingga sampai ke peringkat susah dikawal. Soalannya mengapa masalah ini hanya terdapat di Sabah?

Kita selalu mendengar penjelasan daripada pihak berkuasa bahawa masalah ini timbul akibat daripada Sabah mempunyai sempadan yang begitu panjang, susah dijaga, dikawal atau dimonitor.

Tetapi keadaan sempadan di Sarawak tidak kurang panjang tetapi tidak mengalami masalah yang serupa di Sabah. Ada kemungkinan bagi Sabah keadaan seperti ini merupakan satu AGENDA POLITIK yang tersembunyi?

Apa yang saya perhatikan, penangkapan PATI dijalankan setiap masa dan ramai telah diusir ke negara asal mereka. Pada hemat saya tindakan ini tidak begitu berkesan kerana jika 10 orang yang diusir hari ini, maka yang datang balik lebih ramai daripada jumlah tersebut.

Gerakan pengusiran ini merupakan tindakan ’reaktif’ dan bukannya ’pro-aktif’ hampir sama dengan tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terpaksa berkejar ke sana ke mari untuk memadam api sedangkan Bomba ditubuhkan untuk mengawal kebakaran dan bukan memadam api.

CEDERA….Lelaki tempatan ini telah ditikam oleh PATI namun sehingga kini PATI berkenaan masih bebas tanpa hukuman.

Nampaknya ada keperluan bagi dasar dan pelaksanaan dasar setakat ini dikaji semula agar masalah yang ada kaitan dengan PATI dapat ditangani dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, saya langsung tidak mengerti dasar dan pendirian kerajaan berhubung ‘kanak-kanak terapung’ (stateless children).

Mengikut pengamatan saya, mereka tidak mempunyai hak asasi (basic right) dan bilangan mereka semakin bertambah ramai sehingga mewujudkan segolongan besar masyarakat yang tidak mempunyai kewarganegaraan, tidak berpelajaran dan tidak ada kemahiran.

Mereka inilah yang menjadi ‘bom masa’ (time bomb) yang akan meledak pada bila-bila masa. Pada masa sekarang, mereka hanyalah kanak-kanak, tetapi beberapa tahun akan datang akan menjadi dewasa. Tanpa sebarang kemahiran, pengalaman dan pelajaran, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menjadi perompak, penyamun dan kegiatan jenayah berat untuk meneruskan kehidupan. Situasi sudah mula berlaku walaupun dalam skala yang kecil.

Mutalib: Semasa mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat di se-buah hotel terkemuka tahun lalu, Tan Sri begitu berang kerana dua panel tidak hadir iaitu Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen. Apakah ketiadaan mereka menjadi punca sebenar mesyuarat tersebut gagal mencapai satu ketetapan dan apakah sikap mereka wajar?

SIMON: SUHAKAM telah mencari jalan perundingan dan penyelesaian terbaik dengan membawa Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen berjumpa rakyat melalui Persidangan Meja Bulat untuk mencari jalan penyelesaian.

Namun saya amat hampa kerana mereka seolah-olah tidak langsung menghormati SUHAKAM yang ditubuhkan di Parlimen dan Pesuruhjayanya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong dengan tidak menghadiri majlis penting ini.

Saya hanya minta Pengarah JPN membentangkan kertas kerja berjudul, ”Benarkah Masih Ada Lagi Rakyat Sabah Yang Tidak Memiliki Dokumen Pengenalan Diri?”

Begitu juga dengan Jabatan Imigresen yang kita minta membentangkan kertas kerja berjudul,”Kemanusiaan dan Kewarganegaraan di Sabah”, namun mereka menghantar pegawai rendah yang tidak tahu apa-apa dengan memberi pelbagai alasan.

Bagi menjayakan persidangan Meja Bulat ini hanya wakil NGO sahaja, iaitu Dr Chong Eng Leong yang membentangkan Kertas Kerja berjudul ‘Pencabulan Hak Asasi Rakyat Malaysia di Sabah dengan Kebanjiran Rakyat Asing’.

Sikap dua jabatan ini amat tidak wajar dan menjatuhkan imej jabatan kerajaan di mata rakyat.

Begitu ramai yang hadir sehingga bilik persidangan penuh sesak, namun kegagalan mereka hadir tanpa sebab yang munasabah menyebabkan rakyat hampa dan persidangan ini hanya menjadi tempat meluahkan perasaan tidak puas hati dan jengkel terhadap senario terkini.

Jika JPN dan Imigresen tidak dapat memberikan penjelasan, siapa lagi yang boleh berbuat demikian? Kepada siapa lagi kita mau tanya?

Mutalib: Dalam majlis berkenaan juga Tan Sri mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja? Apakah ianya benar-benar perlu dan dalam masa yang sama ramai mengatakan suruhanjaya berkenaan tidak perlu?

SIMON: Ya, pendirian kita memang tegas dan tepat. Adalah menjadi Hak rakyat untuk mendapat sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana semua pihak yang dipertanggung jawabkan ‘TELAH GAGAL’ menyelesaikan isu PATI ini walaupun telah 36 tahun berlalu. Seolah-olah kita menanti realiti yang tidak pasti, tetapi setiap hari semakin ramai PATI yang menceroboh Negara ini.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja amat penting, terutama bukan sahaja menyiasat kebanjiran warga asing yang keluar masuk dan yang mendapat kerakyatan songsang, malah menyiasat apakah JPN dan Imigresen gagal menjalankan amanah rakyat kerana rasuah berleluasa.

Kenapa kita perlu berdolak dalih? Kenapa kerajaan perlu takut untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas? Jika kerajaan terlibat atau cuba menyembunyikan sesuatu, maka kerajaan harus takut.

Jika kerajaan tidak terlibat, maka hendaklah secara terbuka menyokong penubuhan Suruhan Jaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat bagaimana ratusan ribu rakyat asing memperoleh kad pengenalan secara tidak sah dan menjadi pemilih berdaftar.

Pihak lain berpendapat suruhanjaya tidak perlu kerana mereka tidak memahami betapa seriusnya isu ini dan cuba melindungi kegagalan jabatan mereka, tetapi bagi SUHAKAM, ianya amat perlu dan diperlukan segera.

Mutalib: Adakah sebarang kemungkinan Kerajaan akan menyiasat kes kad pengenalan projek dan dalam masa yang sama ramai wakil rakyat berdiam diri sedangkan mengikut peraturan yang berkuatkuasa, sebarang pindaan rang undang-undang hanya boleh diluluskan oleh Dewan Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri?

SIMON: TIDAK. Kerajaan tidak serius menangani isu ini. Kalau serius kenapa 36 tahun belum selesai, malah bertambah buruk. Saya ingat lagi sekitar 1990-an ketika menjadi Setiausaha Kerajan Negeri Sabah, saya mengikuti rombongan berjumpa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad.

Memandangkan keadaan keselamatan tidak terjamin berikutan kebanjiran rakyat asing yang tidak terkawal, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (TASKFORCE).

Walaupun beberapa pihak membantah, namun Perdana Menteri meneruskan usaha penubuhan TASKFORCE yang dianggotai pelbagai jabatan dan bertindak sebagai Ad-hoc kerana terletak terus di bawah bidang kuasa Perdana Menteri tanpa melibatkan establishment (pengwujudan jawatan baru secara hakiki).

Namun kini sudah hampir 20 tahun, masalah PATI semakin bertambah serius sekalipun TASKFORCE telah menjalankan pelbagai operasi dan mekanisme pemantauan tetapi tidak berkesan.

Saya tidak fikir Kerajaan akan menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu kad pengenalan projek yang diberikan kepada warga asing kerana semua wakil rakyat yang terpilih mempunyai kepentingan masing-masing dan akan memastikan kuasa politik mereka tidak terlepas ke tangan orang lain.

Apatah lagi mereka ini telah didaftarkan sebagai pemilih di dalam daftar pemilih yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Sikap yang diambil oleh Taskforce tidak ubah seperti PEMADAM API (Fire Extinguisher). Apabila timbul kemarahan rakyat, mereka mula menjalankan operasi mengenyah keluar PATI, tetapi apabila isu ini agak reda mereka mendiamkan diri.

Namun mereka tidak pernah melakukan apa-apa terhadap warga asing yang memperoleh kad pengenalan secara tidak sah. Mereka tumpukan kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sahaja. Jadi siapa yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan isu ini?

Mutalib: Apa pendapat Tan Sri berhubung tindakan NGO menghantar Memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja?

SIMON: Situasi ini menunjukkan semua jalan sudah buntu. Indikasi yang menyatakan kerajaan gagal menangani isu ini secara bestari. Semua jentera kerajaan telah gagal. Rasuah berleluasa dan penguatkuasaan tumpul.

Memang amat MEMALUKAN. Bagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat terpaksa memilih jalan alternatif menyampaikan rasa tidak puas hati melalui jalan yang songsang iaitu menghantar Memorandum kepada Yang DiPertua Agong memberikan gambaran Kerajaan Malaysia telah GAGAL secara TOTAL.

Rakyat tidak lagi mempercayai kerajaan dan meragui ketulusan kerajaan kerana ketirisan keyakinan yang mendorong mereka melakukan suatu tindakan di luar perlembagaan dengan menghantar Memorandum kepada Yang diPertuan Agong.

Saya terharu apabila Presiden Cash, Datuk Patrick Sindu memberitahu kita dalam satu wawancara di media elektronik bahawa, ”Jika ada pejabat Tuhanpun dia akan pergi asal isu ini dapat diselesaikan.”

Walaupun Patrick ingin berseloroh, namun menunjukkan kehampaan kepada semua jentera kerajaan. Ini perkembangan yang tidak sihat dan jika dibiarkan akan memberikan impak yang ketara dari segi hak asasi manusia yang tidak lagi menaruh sebarang keyakinan kepada Kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Mutalib: Kini mereka menganjurkan referandum dengan kerjasama beberapa blog dan akhbar kerana semua saluran rasmi menafikan hak mereka. Apakah ianya perkembangan yang sihat bagi Malaysia?

SIMON: Saya tidak nampak sebab kenapa niat murni mereka ini disekat setelah gagal dan buntu dalam segala hal. Mereka kembali kepada rakyat dan patut seluruh rakyat Malaysia menyokong referandum ini. Jika kerajaan benar-benar peka dan mengatasi masalah ini secara bijak, maka saya tidak fikir mereka ini akan menganjurkan referandum.

Tetapi apabila sudah memikirkan semua saluran telah dibuat, maka kita mengalu-alukan mereka meneruskan referandum agar rakyat Sabah bersama-sama mereka menuntut hak asasi mereka melalui pelbagai cara yang SAH menurut undang-undang. Referandum adalah perkembangan yang sihat bagi Malaysia kerana rakyat mula menyedari HAK ASASI mereka sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun bagi sesetengah pihak, ianya agak memalukan, namun dari aspek hak asasi manusia amat digalakkan. Rakyat bebas memberikan pandangan dan membuat keputusan mengikut citarasa dan apa yang mereka fikirkan secara kolektif dan matang.

Mutalib: Tidakkah Tan Sri atau SUHAKAM boleh memainkan peranan menganjurkan Konvensyen Rukunegara bagi membolehkan rakyat menyedari dan mengetahui saluran yang betul dan cintakan negara mereka dengan tidak melindungi PATI sehingga mereka kini menjadi ’Anak Negeri Sabah’?

SIMON: Kita memang merancang mengadakan pelbagai aktiviti untuk memberi kefahaman kepada rakyat berhubung hak asasi dan yang bersangkutan dengannya.

Namun jika ada keperluan mendadak kita akan menganjurkan Konvensyen berkenaan, tapi kita akan melihat keperluan secara saksama. Apa yang kita inginkan daripada setiap program kita ialah rakyat sedar akan hak mereka dan bertindak menurut saluran undang-undang.

Mutalib: Jika Kerajaan enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atas sebab tertentu, apakah wajar bagi rakyat menuntut keadilan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ?

SIMON: Pilihan terbuka kepada rakyat, kerana hak asasi memberi mereka peluang mendapatkan keadilan sejagat. Mereka boleh membawa isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Saya menghormati tindakan Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Sabah & Labuan, Joshua Kong (gambar atas) yang telah memfailkan kes ke ICC. Soal berjaya atau tidak, tidak timbul. Tetapi usaha berterusan perlu dilakukan dan disokong, asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Peluang dan ruang terbuka luas bagi rakyat menuntut keadilan.

Mutalib: Akhir sekali apakah rumusan Tan Sri berhubung isu ini dan apa pesanan untuk rakyat Sabah yang tertindas dan ditindas oleh karenah birokrasi?

SIMON: Berilah peluang kepada rakyat menyuarakan hak mereka dan berilah HAK kepada rakyat yang berhak untuk hidup secara aman damai di sebuah negara yang merdeka. Kembalikanlah hak mereka, jika hak mereka telah dirampas secara tidak sengaja.

Kepada rakyat Sabah, teruskan perjuangan yang belum selesai kerana jika mereka berdiam diri, ada pihak yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka. Mereka hendaklah menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan kerana tanpa Perlembagaan Persekutuan, mereka tidak berhak melakukan apa-apa.

Adalah tidak wajar jika rakyat asing mengaku menerima kad pengenalan projek dengan harga RM10 sahaja, sedangkan Kerajaan Persekutuan berkeras menafikannya!

(PERINGATAN : Semua kenyataan yang disampaikan oleh Tan Sri Simon di dalam wawancara khas ini adalah pendapat beliau secara peribadi berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian beliau. Apa yang dinyatakan tidak semestinya mencerminkan pendirian SUHAKAM atau DIPERSETUJUI oleh rakan sejawatnya di dalam SUHAKAM. Apakah Perjuangan Belum Selesai Tan Sri Simon ini akan diteruskan oleh penggantinya atau hanya tinggal dalam lipatan sejarah?)

29 comments:

  1. UMNO/BN diMalaya percaya UMNO/BN diSabah adalah lemah dan hanya sesuai dijadikan boneka, Maka Sabah telah menjadi setor bagi rakyat asing untuk menyempurnakan kekuasaan kepada UMNO Malaya sahaja...namum hakikat ini,Pemimpin2 UMNO/BN diSabah(secara sedar) yg tamakkan kuasa dan kekayaan sanggup menggadaikan maruah bangsa dan Negara sendiri demi kepentingan rakyat asing dan peribadi..?

    ReplyDelete
  2. MyKad can be obtained by RM10 only?

    ReplyDelete
  3. Hope that the PATI issue can be resolved in an efficient matter.

    ReplyDelete
  4. Kalau la kita mampu berdiri sendiri.

    ReplyDelete
  5. Saya pasti ada orang dalam yang melakukan perbuatan memberi kad pengenalan palsu kepada rakyat asing. Individu seperti ini lah yang mencemarkan nama baik kerajaan. Harap ada siasatan atau audit dilakukan agar mana2 individu yang bersalah dapat dihadapkan dan dikenakan tindakan yang setimpalnya.

    ReplyDelete
  6. PTI zaman ini juga sudah moden, ada penangkapan dilakukan dua tahun lalu yang mana melibatkan PTI bersama2 dengan mesin untuk memproses IC...

    ReplyDelete
  7. entah bila isu pati ni akan selesai.

    ReplyDelete
  8. semua perlu bersungguh-sungguh dan berganding bahu untuk menyelesaikan masalah pati ini.

    ReplyDelete
  9. bilangan PATI yang semakin meningkat memang membimbangkan rakyat Sabah..

    ReplyDelete
  10. terutamanya kes-kes jenayah yang melibatkan golongan ini semakin ketara.

    ReplyDelete
  11. kalau kad pengenalan projek boleh diperolehi dengan harga hanya RM10 saja maknanya murah sangat nilai kewarganegaraan Malaysia ni.

    ReplyDelete
  12. Rasanya di negara lain pun ada juga yang menghadapi masalah pendatang asing.cara mereka menyelesaikan masalah ini mungkin sedikit sebanyak boleh digunapakai di negara ini.

    ReplyDelete
  13. Kesilapan pemimpin lalu menyebabkan rakyat masa kini yang menanggung kesannya. Sesiapa yang sanggup memberi ic kepada PATI adalah pengkianat negara dan harus dikenakan hukuman.

    ReplyDelete
  14. Para pemimpin harus bersatu hati dalam mencari jalan penyelesaian dan rakyat bekerjasama dalam memberi sebarang maklumat berkenaan dengan PATI. Dengan harapan masalah PATI dapat dikurangkan atau dikawal.

    ReplyDelete
  15. Kenapa Sabah saja yang banyak PATI berbanding Sarawak? Adakah sistem kawalan keselamatan pintu masuk di Sabah lemah dan mudah dibolosi?

    ReplyDelete
  16. setelah semua tuntutan untuk menyelesaikan PATI ini dibuat melalui saluran yang betul tapi tetap tidak diendahkan oleh pihak kerajaan malaysia, maka kerana itu lah rakyat terpaksa memilih jalan mereka sendiri..kerajaan tidak harus menyalahkan rakyat kerana yang bersalah adalah kerajaan..jadi adalah lebih baik kerajaan menyelesaikan isu PATI di sabah ini dengan efektif dan efisen sebelum rakyat memilih jalan penyelesaian mereka sendiri.

    ReplyDelete
  17. masalah PATI sudah sampai di tahap yang mana tiada lagi kawalan..kini bila-bila masa saja PATI melakukan huru-hara untuk mendapatkan hak keistimewaan..

    ReplyDelete
  18. PATI di sabah wujud disebabkan oleh kepentingan politik..itu pendapat saya.. kalau tidak, mengapa penubuhan RCI begitu ditentang oleh kementerian dalam negeri dan beberapa pihak lain seperti harris salleh? bukankah tindakan sedemikian menimbulkan persoalan kepada rakyat tulin sabah?

    ReplyDelete
  19. Kesiannya tu orang kena tikam...mesti teruk tu kan...

    ReplyDelete
  20. Judas, bukan sebab masalah kawalan atau keselamatan di pintu masuk atau masalah sempadan, tapi disebabkan oleh kepentingan politik sesetengah pihak..PATI diperlukan oleh mereka supaya mereka akan tetap berkuasa..

    ReplyDelete
  21. PATI tidak akan selesai selagi mereka diperlukan untuk political survival pihak2 tertentu..

    ReplyDelete
  22. Bilakah rakyat Sabah ini akan bebas daripada PATI. Kita tidak mahu PATI menjadikan negeri Sabah ini tempat kuasa mereka.

    ReplyDelete
  23. PTI, PTI and PTI!Why are ruining our lives?

    ReplyDelete
  24. yang memalukan itu ialah ahli2 parlimen Pakatan kerana mengajak rakyat menggunakan jalan songsang sedangkan mereka sendiri tidak pernah menimbulkan tuntutan Bersih di Parlimen..

    ReplyDelete
  25. It's all Mahathir's faults.

    ReplyDelete
  26. memang bilangan PATI paling ramai di Sabah dan amat diharapkan program 5P yang tamat tempoh semalam dapat membantu mengurangkan masalah PATI di Sabah.

    ReplyDelete
  27. semoga kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap PATI yang gagal mendaftarkan diri dalam program 5P yang baru tamat tempohnya.

    ReplyDelete
  28. Semoga semua usaha untuk mengatasi masalah PATI ini dipertingkatkan lagi demi menjaga keselematan rakyat sejagat.

    ReplyDelete