LAHAD
DATU : Setelah 11 hari bersembunyi di hutan dengan hampir setiap hari mendengar
bunyi tembakan, seorang bapa akhirnya nekad membawa isteri dan empat anak
kecilnya berjalan kaki sejauh 10 kilometer ke pusat pemindahan sementara di
Dewan Fajar Harapan.
Tindakan
meninggalkan rumah di kampung Tanjung Labian hanya dibuat oleh Rustam Edan, 55,
semalam selepas mereka kehabisan bekalan makanan dan mengambil kira faktor
keselamatan anak-anaknya yang berusia antara 4 dan 12 tahun.
"Kami
keluar dari rumah pukul 5 pagi dan selepas 10 jam berjalan kaki, kami akhirnya
tiba di Dewan Fajar Harapan pada pukul 3 petang," katanya ketika ditemui
di pusat pemindahan itu.
Rustam
yang bekerja sebagai penjaga ladang kelapa sawit milik saudaranya di kampung
itu, berkata ketika itu semua penduduk kampung telah meninggalkan rumah mereka
berikutan kehadiran kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu.
"Kami
anak beranak yang masih tinggal di situ," katanya yang memberi alasan
tidak tahu untuk tinggal di mana sekiranya mereka berpindah.
Menceritakan
semula pengalaman yang dihadapi keluarganya, Rustam berkata setiap kali
mendengar bunyi tembakan, beliau akan membawa keluarganya bersembunyi di dalam
hutan.
"Kami
hanya kembali ke rumah jika tiada sudah bunyi tembakan," katanya.
Beliau
berkata mereka mengambil masa yang lama untuk tiba di dewan itu kerana terpaksa
melalui jalan kampung dan banyak berhenti akibat penat.
Sebaik
tiba di dewan pemindahan, petugas Jabatan Kesihatan menjalankan pemeriksaan
kesihatan terhadap Rustam, isteri dan anak-anaknya yang masing-masing berusia
12, 9, 3 tahun dan lapan bulan.
Kesemua
mereka yang dalam keadaan lesu diberi makanan dan kelengkapan lain. (Bernama)
No comments:
Post a Comment