LAHAD
DATU : Pasukan keselamatan akan terus memburu saki-baki pengganas Sulu yang
menceroboh Lahad Datu dan yakin dapat menumpaskan mereka dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan percaya jumlah militan
yang berkubu di Kampung Tanjung Batu kini kurang daripada 50 orang.
Beliau
berkata pasukan keselamatan juga tidak menghiraukan pengumuman Jamalul Kiram
yang disiar media Filipina bahawa kumpulan pengganas itu akan melancarkan
perang gerila ke atas Malaysia.
"Jamalul
Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka habis-habisan,"
katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera
Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16, dekat sini hari
ini.
Hamza
berkata dua pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan kumpulan
pengganas pada hari ke-14 Operasi Daulat iaitu pada 8.05 pagi dan 9.45 pagi.
Menjawab
pertanyaan wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7 mengenai pasukan
keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas setelah Jamalul Kiram
mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata pengganas terlebih dahulu menyerang
dan membunuh dua anggota polis serta mencederakan tiga lagi dalam pertempuran
di Kampung Tanduo, dekat sini 1 Mac lepas.
"Kami
tidak akan hormati kata Jamalul Kiram kerana pengikutnya menembak mati dua
anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau umum gencatan senjata,"
katanya.
Hamza
turut memberitahu bahawa Malaysia dan Filipina sedang berunding berhubung
tuntutan mayat 28 pengganas yang ditembak mati dalam insiden pencerobohan itu.
Sementara
itu, Ahmad Zaki berkata 12 kereta kebal berantai jenis Adnan milik tentera
darat tiba di Felda Sahabat untuk membantu mengukuhkan pertahanan dan
membanteras pengganas di Kampung Tanjung Batu.
"Kereta
perisai itu juga bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih efektif kepada
pasukan keselamatan dalam menggeledah kawasan dan mendominasi kawasan,"
katanya.
Di
KUALA LUMPUR, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata
pasukan keselamatan yakin operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu akan
selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum penduduk dibenar pulang ke
rumah masing-masing.
"Operasi
di Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo telah selesai dan kini dalam peringkat
menentukan kerosakan yang dialami penduduk kampung," katanya kepada
pemberita di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mengenai
tempoh Operasi Daulat, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan tidak dapat
memberi jangka waktu bila operasi itu akan berakhir. (Bernama)
No comments:
Post a Comment