Wednesday 6 March 2013

GUM GUM SELAMAT DAN TERKAWAL






SELAMAT.....Datuk Zakaria sedang diwawancara berhubung keselamatan di kawasan Gum-Gum.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

GUM-GUM : Pihak berkuasa keselamatan, khususnya Tentera dan Polis diminta supaya mengadakan kawalan ketat di kawasan perkampungan pesisir pantai demi menjamin keselamatan penduduk setempat untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Antaranya, tempat-tempat yang memerlukan kawalan ketat dan rapi oleh anggota pasukan keselamatan ialah Kampung Kuala Gum-Gum, Kampung Pulau Libaran, Kampung Dundulit dan Kampung Semawang kerana keempat kampung berkenaan terlalu terdedah dengan kehadiran musuh-musuh  di luar  jangkaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Hj Zakaria Hj Edris berkata demikian sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat  Pusat Daerah Mengundi bagi Zon Dun Gum-Gum bersama lebih 30 orang Ketua Cawangan UMNO dan ahli-ahli komponen BN lainnya di Bilik Mesyuarat pejabat UPKR Gum-Gum, petang kelmarin.

Kata Zakaria, ekoran daripada terlalu  banyak  khabar angin yang dilemparkan oleh orang yang tidak bertanggung jawab yang tersebar luas di sana sini; maka penduduk di keempat kampung itu kini sedang dibayangi ketakutan sehingga beberapa orang nelayan tidak berani turun ke laut untuk menangkap ikan.

Selain dari itu, kata Zakaria, beberapa buah sekolah rendah dan menengah diarahkan pulang lebih awal atas arahan restu jabatan pendidikan berkenaan.

“Saya sebagai Wakil Rakyat Gum-Gum meminta kerjasama penduduk kawasan DUN  Gum-Gum  agar tidak menyebarkan khabar-khabar angin untuk menakut-nakutkan orang ramai kerana ini akan menjadi satu kesalahan yang boleh membawa hukuman berat terhadap para penyebar khabar angin yang tidak berasas.

"Sama ada melalui SMS atau panggilan telefon ataupun laman sosial seperti FB kerana nombor dan nama mereka boleh dikesan jika dirujuk kepada pihak SKMM,” tegas Zakaria.

Ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden PKR Tian Chua yang menyatakan pergelolakan yang melanda di Lahad Datu, Kunak dan Semporna  disifatkan sebagai satu sandiwara UMNO/BN; Zakaria menyarankan agar polis menjalankan siasatan untuk mengetahui motif sebenar Tian Chua berkata demikian.

Zakaria turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga 8 orang anggota polis yang terkorban dalam tragedi di Lahad Datu dan Semporna  baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment