Saudara Pengarang,
PAS Kawasan Tawau memandang
berat pencerobohan pihak asing di Kampung Tanduo, Felda Sahabat, Lahad Datu
yang berlarutan sejak 9 Februari 2013 lagi.
Kemelut daripada peristiwa
tersebut merebak dengan kejadian berkaitan di Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Kehadiran penceroboh yang lebih 200 orang dengan bersenjata automatik bukan
sesuatu yang boleh dibuat endah tak endah.
PAS Kawasan Tawau berharap
dan memohon agar pihak kerajaan tidak memperjudikan kedaulatan dan keselamatan
negara dan kehidupan harian rakyatnya dengan membiarkan kemelut ini berlarutan
sehingga kini telah melebihi 20 hari.
Kita simpati dengan
kesulitan dan kesengsaraan penduduk Kampung Tanduo yang terpaksa menumpang di
rumah keluarga dan sahabat handai. Kita juga prihatin dengan kebimbangan yang
tidak menentu penduduk Lahad Datu, Kunak dan Semporna khususnya dan seluruh
Sabah amnya. Rata-rata pencarian mereka dan rezeki tidak menentu, kerja terus
tergendala manakala pendidikan anak-anak sekolah tergendala.
PAS Kawasan Tawau yakin
kemampuan pihak Keselamatan, Angkatan Tentera dan Pasukan Polis Malaysia dapat
menangani kemelut di Kampung Tanduo dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan di
Daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna malah seluruh Sabah. Mandat, kekuatan dan
semangat yang jitu pada Pasukan Keselamatan kita tidak pernah luntur dan PAS
sentiasa bersama mereka dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini.
Kita menyeru agar pihak
bertanggungjawab menyelesaikan dengan segera isu tuntutan pihak asing ke atas
wilayah negara khususnya Sabah. Tidak wajar kita membiarkan kedaulatan Negara
menjadi jajaan berlarutan oleh tuntutan pihak-pihak asing apatah lagi ianya
menjadi momokan dengan tuntutan pelbagai pihak yang sewenangnya mengaku sebagai
pewaris pemerintahan atau penguasa kepada bumi tercinta ini.
PAS Kawasan Tawau menyeru
semua pihak supaya bertenang dan beri kerjasama kepada pihak Keselamatan,
Pasukan Polis dan Angkatan Tentera Malaysia. Insya Allah kita akan selamat dan
dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kita juga simpati, sedih dan
merakamkan takziah kepada semua keluarga pihak keselamatan yang terkorban dan
cedera dalam mempertahanklan kedaulatan negara.
Kita mendoakan semoga
pengorbanan mereka diterima sebagai amal jihad dan mendapat ganjaran di sisi
Allah S.W.T. Akhir sekali, kita mendoakan agar kemelut ini dapat diselesaikan
segera dan keamanan dipulihkan.
Salam Hormat,
(MOHAMAD BIN HUSAIN)
Yang Dipertua PAS Kawasan
Tawau.
No comments:
Post a Comment