MUNGKIN ada di kalangan kita
yang belum mengikuti atau pun terlepas pandang ringkasan latar belakang Datuk
Dr Jeffery Kitingan selaku seorang individu, intellektual, pentadbir, sejarawan
dan seorang pemimpin serta ahli politik yang dikatakan penuh dengan
kontroversi.
Dalam politik tanahair,
siapa yang tidak mengenali tokoh politik yang tidak asing lagi di negeri ini,
Datuk Dr.Jeffery G.Kitingan. Kelibat dan tindakannya sering menjadi perhatian
ramai penganalisis.
Sama ada suka atau tidak, Dr.Jeffery
menjadi salah satu personaliti yang sering diikuti perkembangan dan gerak
langkah politiknya. Penggemar yoga yang sudah lama terlibat dalam bidang
politik dan kegiatan sukarela dan NGO ini, masih satu faktor penting dalam
perkembangan politik Sabah?
Datuk Dr.Jeffery G.Kitingan
lahir pada 22 Oktober 1947 di Kampung Karanaan, Tambunan. Ahli Politik yang
banyak menulis buku ini agak terkenal dalam gelanggang politik Sabah kerana
perjalanan politiknya yang banyak diwarnai kontroversi.
Mantan Timbalan Menteri
Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia (1994-1995) ini adalah pengasas dan
Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang pertama pada
1985-1991.
Beliau juga pernah menjadi
Pengarah Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia di Kementerian Pembangunan
Sumber (19850, Pengarah Yayasan Sabah (1985-1994). Beliau pernah menjadi Ahli
Dewan Negara (1994-1995), Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor (1994-1998) dan
(2000-2004).
Dalam bidang politik,
Dr.Jeffery pernah menjadi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari tahun
2007 hingga 2010. Kini beliau memimpin STAR, sebuah parti oposisi di negeri
ini.
Ikuti temubual Wartawan
Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama Dr.Jeffery pada satu pagi di
Sabah Golf and Country Club di Luyang mengenai pandangannya terhadap isu-isu
semasa, pengalaman ketika kecil dan sebagainya.
UB:
Kalau mengikut pemerhatian Dr, setakat ini bagaimana sambutan rakyat terhadap
parti pembangkang seperti STAR?
DR.J: Sambutan macam luar
biasa. Saya pun hairan juga kerana sudah lama saya berkecimpung dalam politik,
iaitu sejak musim PBS dulu, saya mendapati sambutan rakyat kali ini luar biasa.
Lebih luar biasa berbanding kebangkitan PBS dulu.
UB:
Apa faktor yang mendorong perkara itu?
DR.J: Teknologi moden mempercepatkan
aliran maklumat.Orang ramai terutamanya generasi muda memberi respon untuk
menuntut perubahan.
UB:
Bagaimana tahap kerjasama antara pembangkang dalam PRU-13?
DR.J: Kita memang terbuka
untuk cari bentuk persefahaman. Sekarang pun kita sedang berbincang dengan
parti tempatan, perbincangan sedang berjalan agar ada kerjasama.Jangan
bertanding sesama sendiri.
UB:
Ramai berpendapat jika satu lawan satu, peluang pembangkang lebih cerah? Apa
komen Dr?
DR.J: Dari segi teori dan
idealisme, memang peluang lebih cerah kalau satu lawan satu. Pandangan orang
begitu. Bagi saya yang penting ialah jangan terlalu banyak saingan di antara
pembangkang.
Tetapi tidak semestinya
dalam semua situasi banyak parti bersaing beri kesan yang sama. Malah di
beberapa tempat yang strategik perlu ada dua tiga calon untuk pecahkan undi.
Bagi saya ini terpulang
kepada rakyat. Kita tidak boleh menghalang parti-parti untuk bertanding kerana
ini adalah amalan demokrasi. Jadi terpulang kepada rakyat untuk menilai.
Bagi saya rakyat perlu
menumpukan kepada parti yang sepatutnya diundi dan kalau mereka buat
sedemikian, saya rasa majoriti rakyat akan undi parti tertentu. Janganlah kita
terlalu risau atau terikat kepada formula satu lawan satu.
UB:
Melihat kepada sejarah politik Dr, nampaknya Dr selalu berpindah parti. Dari
PBS ke PBRS ke AKAR, kemudian PKR dan kini STAR. Mungkin ada alasan tertentu
mengapa Dr bertindak begitu?
DR.J: Pertama, tidak ada
orang pindah parti tanpa sebab.Jadi bagi saya penyebab yang pertama adalah
parti-parti yang saya ikut mestilah berpegang atau taat setia kepada
perjuangan, dan bila mana ia menyimpang dari perjuangannya, sudah tentu saya
meninggalkan parti itu.
Mereka tidak lagi
perjuangkan apa yang saya perjuangkan. Yang kedua, biasanya kalau tidak bersetuju
dengan landasan parti, tidak suka cara mana parti itu berjuang dan memimpin,
tiada sebab kita paksa diri kita bersama dengan parti itu.
Begitu juga dengan
pengundi-pengundi, di mana hari ini pengundi akan menyokong parti yang sesuai
dengan aspirasi dan prinsip mereka. Jadi bagi saya tiada yang salah. Yang salah
ialah bila kita tinggalkan parti untuk kepentingan peribadi dan menyebabkan
parti itu kehilangan kuasa.
UB:
Bagaimana Dr. melihat PRU ke-13 akan datang?
DR.J: Saya melihat PRU
ke-13, satu pilihanraya yang paling hebat, lebih hebat daripada pilihanraya
yang lalu. Ini pilihanraya sebenar yang menentukan sama ada BN akan kekal
memerintah atau tidak.
Sama ada rakyat Malaysia
dapat membawa perubahan dalam politik. Pilihanraya ini akan ditentukan oleh
Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung, saya melihat akan merupakan peluang 50-50,
kalau pun ada perubahan sedikit, mungkin sedikit saja.
Sabah dan Sarawak akan
menjadi penentu siapakah akan berkuasa. Parti-parti di semenanjung akan
bersaing hebat, mungkin ada negeri akan terbang.
Saya melihat advantage
kepada Pakatan Rakyat (PR) di Semenanjung kalau tiada apa-apa perubahan. Ini
bererti Sabah dan Sarawak akan menentukan pihak mana yang menang, tapi yang
lebih penting di Sabah.
UB:
Kenapa Sabah penting?
DR.J: Sebab Sabah dipanggil
simpanan tetap BN.Lagi pula UMNO bertapak di Sabah.Jadi Sabah yang akan menjadi
kuasa penentu.
Di Sabah keinginan untuk
perubahan terlalu tinggi disebabkan persepsi, memang dari segi kenyataan pun
Sabah ini telah dipinggirkan. Banyak isu tidak diberi perhatian, isu minyak,
isu Perkara 20.
Banyak perkara tidak
dipedulikan pemimpin pusat. Isu tanah tidak diselesaikan.Semakin hari semakin
tenat. Isu ini termasuk isu PTI. Isu-isu ini memberi kesedaran kepada rakyat
mengenai hak-hak mereka.
Isu PTI misalnya, walaupun
sudah disebutkan, dibangkitkan lebih 20 tahun tetapi nampaknya kerajaan tidak
serius, perkara ini bagi mereka tiada sense of urgency. Kerajaan kelihatan
tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan perkara ini.
UB:
Tetapi Kerajaan sudahpun menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Apa
komen Dr?
DR.J: Penubuhan RCI macam
jangan tidak saja. Kalau dia mahu buat betul-betul, dia cepat-cepat buat.
UB:
Bagaimana Dr. melihat kepentingan politik nasional?
DR.J: Saya rasa politik
nasional memang penting. Sabah, Sarawak adalah komponen dalam membentuk
Malaysia.
Malaysia terbentuk dengan
adanya Sabah dan Sarawak. Sabah Sarawak seharusnya menjadi pemain penting dalam
politik nasional. Bukan dipinggirkan.
Kita adalah rakan kongsi.
Sama taraf. Inilah antara kegagalan kerajaan kita, pemimpin yang salah guna
Projek Malaysia. Sepatutnya ia projek penggabungan untuk menaik taraf Malaysia
sebagai sebuah kerajaan Persekutuan, sebagai sebuah negara yang baru.
Sebab itu, pemimpin-pemimpin
Sabah dan Sarawak perlu ambil langkah-langkah yang penting untuk memperbetulkan
peranan mereka dalam negara. Jangan biarkan Sabah Sarawak dipinggirkan dan
tidak punya peranan penting dalam Malaysia.
Bagi saya Malaysia boleh
melonjak jauh lagi dari segi politik dan pembangunan tetapi beberapa perkara
harus dibuat. Kita kena laksana pendekatan baru, sistem baru.
Pendekatan baru ini penting
disebabkan bentuk geografi kita jika dibandingkan dengan Semenanjung begitu
jauh. Kita perlu pendekatan baru.
Sebagai contoh dasar kabotaj
yang baik untuk KL tetapi merugikan Sabah dan Sarawak. Selain itu keadaan
budaya kita di Sabah juga berbeza. Di Sabah tidak timbul isu kaum atau agama.
Bahkan kita semua campur adik dalam satu famili.
UB:
Bagi pandangan Dr, bagaimana untuk menjadikan Sabah setanding dengan
Semenanjung jika dtinjau dari bentuk geografi kita yang luas?
Dr.J: Untuk mempercepatkan
pembangunan, jika kita memerintah kita akan memperkenalkan pendekatan baru.
Kita akan wujudkan mekanisme untuk memajukan Sabah.
Asasnya sudah ada. Dahulu
daerah-daerah di Sabah di bahagikan kepada lima buah residensi.Residensi punya
sempadan tertentu. Ini akan memudahkan kita untuk menyesuaikan keadaan di Sabah
dengan Semenanjung.
Sebagai contoh, Keningau
seluas 3,833 km persegi adalah seluas Perlis, Pulau Pinang dan Melaka jika
digabungkan. Pensiangan lebih besar lagi iaitu 6,000 km persegi. Keningau
mempunyai satu Ahli Parlimen, satu pegawai daerah.
Jika dibandingkan dengan
tiga buah negeri yang mempunyai 83 Dewan Undangan Negeri, 26 Ahli Parlimen,
iaitu jumlah yang lebih banyak dari Sabah sendiri.
Keluasan tiga negeri itu,
tidakpun sama besar dengan Keningau. Ini yang perlu kita fikirkan. Kita bukan
hanya bergantung kepada kependudukan tetapi juga kepada keluasan dan potensi.
UB:
Mari kita beralih kepada soalan lain.Barangkali ramai juga yang ingin tahu di
sebalik pelbagai kesibukan, apa hobi Dr di masa lapang?
Dr.J: Biasanya saya buat
senaman, yoga.Kadang-kadang main golf.Dulu saya suka main badminton, tapi
selepas kemalangan, tidak lagi saya lakukan.
UB:
Biasanya apa buku yang Dr. selalu baca?
Dr.J: Isu-isu semasa,
perkembangan baru, dari segi sains dan tekmologi. Tapi minat saya dalam membaca
buku lebih kepada pemikiran baru, falsafah mengenali diri dan sebagainya.
UB:
Pernahkah Dr.terfikir untuk menjadi ahli politik?
Dr.J: Tidak pernah berfikir,
tapi saya selalu memikirkan masyarakat, negeri ini dan macam mana saya boleh
membawa perubahan.
UB:
Apa cita-cita Dr dulu?
Dr.J: Dulu saya hanya ingin
jadi pegawai kerajaan.
UB:
Mungkin keadaan sekarang jauh berbeza dengan keadaan dulu? Jauhkah sekolah
dengan tempat tinggal Dr?
Dr.J: Dulu kami jalan kaki
pergi sekolah. Empat hingga 5 kilometer sehari. Kami tinggal di Kampung
Karanaan, pergi ke sekolah di GPS Tambunan. Kemudian saya sekolah di St
Theresa.Lepas itu di St Francis Keningau. Saya lari dari rumah.
UB:
Dr lari dari rumah? Bagaimana ceritanya?
Dr.J. Saya lari dari rumah
untuk bersekolah di St.Francis Keningau. Bapa saya tidak galakkan kerana mahu
saya jaga adik-adik saya. Tapi ibu saya memberi galakan.Beliau bekalkan saya
empat gantang beras dan duit sepuluh ringgit. Saya ikut kereta untuk sekolah di
Keningau. Kemudian saya pindah lagi ke La Salle. Itupun bapa saya suruh saya
kerja, tolong kau punya adik-adik, katanya.
UB:
Berapa adik beradik?
Dr.J: Kami lima belas adik
beradik. Saya anak kelima. Kalau kira dua mama, kami 18 semuanya.
UB:
Selepas sekolah, Dr terus ke Universiti?
Dr.J: Lepas tingkatan enam,
saya kerja di Jabatan Haiwan sebagai kerani. Tidak lama kemudian saya
dipindahkan jadi Ketua Kerani di Jabatan Pertanian. Waktu itu saya menggantikan
Tan Sri Joseph Kurup.
Pada masa itu memohon
biasiswa Rancangan Colombo. Bayangkan saya bersaing dengan ramai orang.
Kemudian saya terpilih pergi ke Australia, menuntut di Western Australia, di
Institute of Technology (kini Curtin University).
Itu pun bukan dapat terus.
Saya kena tukar dari Keningau ke Lahad Datu di Bahagian Pentadbiran Luar
Bandar. Jadi keranai Pentadbiran Luar Bandar merangkap kerani mahkamah.
Balik dari belajar, saya ditempatkan
sebagai Pegawai Eksekutif, di Pentadbiran Perkhidmatan Am Jabatan Ketua Menteri
pada 1975-1976. Kerana waktu itu belum ada tugas tertentu, saya bagi tahu diri
saya, saya buat kajian perjalanan dan fungsi operasi di JKM.
Ketika itu saya dapati
banyak kelemahan. Apabila ketua saya ketika itu, Datuk Hassan Abdullah tahu
saya buat kajian, beliau meminta saya membuat kajian semua jabatan dan
memberikan laporan kepadanya setiap hari.
Di situlah bermulah
penyusunan jabatan, kementerian beserta dengan dasar dan fungsinya. Kemudian
saya naik pangkat sebagai Penolong Pengarah/Ketua Pengurusan analisis, Jabatan
Perkhidmatan Awam Negeri JKM 1976-1978.
Saya mula menaik taraf
jawatan-jawatan dan mengiktiraf kelulusan dari luar negeri.
Sebelum itu belum dibuat
dalam skim perkhidmatan, Saya susun semula jabatan. Kemudian saya menghadiri
Kursus Certificate in Management Consultancy di Surrey United Kingdom pada
tahun 1978.
UB:
Selepas itu?
Dr.J: Bila saya balik, saya
tubuhkan Unit Pemodenan dan Pentadbiran (SAMMU) /Sinar. Saya yang buat satu
buku iaitu buku panduan Penjawat Awam. Selain itu, kami tubuhkan unit pemodenan
pentadbiran di setiap daerah. Ketika itu Tan Sri Khalil sudah jadi Setiuasaha
Tetap.
UB:
Bila pula Dr.ke universiti Harvard?
Dr.J: Selepas itu saya
melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard, Massachusetts USA hingga lulus
Master of Public Administration (MPA) pada 1981.
Kemudian saya mengambil
Master of Arts in Law & Diplomacy (M.A.I.D) di TUFTS University pada 1983. Kemudian
saya mengambil ijazah PhD dengan tajuk disertasi Political Stability &
Economic Development in Malaysia yang dikelola bersama oleh Universiti Harvard
dan Univeriti Tufts pada tahun 1984.
UB:
Jauh perjalanan Dr dalam mengejar ilmu pengetahuan. Semoga ini boleh menjadi
contoh kepada generasi muda kita. Tentu banyak cerita yang boleh kita kongsikan
pada masa yang lain. Terima Kasih.
Dr.J: Terima kasih juga
kerana sudi menemubual saya.
hebatnya Dtk Dr J Kitingan ni..patut sukung pnuh perjuangan dia dlm politik Sabah bgi mngubah senerio politik ngeri Sabah..ini kali laaaaah !!!
ReplyDelete