SEREMBAN : Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata rakyat perlu bersatu padu dan menunjukkan semangat
patriotisme dalam soal menjaga keselamatan dan kedaulatan negara seperti dalam
insiden pencerobohan pengganas di Sabah.
Perdana Menteri berkata
walaupun kedudukan kawasan pencerobohan di Lahad Datu terletak amat jauh dari
kawasan lain, namum ia merupakan sebahagian dari Malaysia yang mana turut
memberi kesan kepada rakyat secara menyeluruh.
"Kalau ada apa-apa yang
berlaku di sana sedikit sebanyak boleh menjejaskan kepentingan kita. Oleh itu
kita semua perlu memainkan peranan kita untuk menyokong pasukan keselamatan
kita," katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama masyarakat
Cina Negeri Sembilan di padang Majlis Perbandaran Seremban, di sini, Sabtu.
Antara yang hadir ialah
isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri
Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan beberapa pemimpin parti
komponen Barisan Nasional (BN).
Berucap di hadapan kira-kira
35,000 hadirin pada majlis itu, Najib berkata dalam soal menjaga keselamatan
dan kedaulatan negara juga, tidak ada bezanya peranan yang boleh dimainkan oleh
setiap anggota masyarakat walaupun terdiri daripada berbilang kamum dan agama.
Terdahulu, Najib menerima
cek sumbangan kepada Tabung Wira Negara daripada lebih 200 badan bukan kerajaan
dan persatuan masyarakat Cina Negeri Sembilan termasuk orang perseorangan yang
keseluruhannya berjumlah RM720,000.
Najib berkata sumbangan yang
amat besar ini jelas menunjukkan semangat patriotisme tinggi di kalangan
masyarakat Cina yang menunjukkan sokongan terhadap pengorbanan pasukan
keselamatan di Lahad Datu.
Beliau mengingatkan rakyat
bahawa negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk
memimpin bagi menjamin kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan.
Katanya sekiranya negara
dipimpin oleh sebuah kerajaan yang lemah dan tidak mampu menjamin kestabilan,
ia boleh mengundang pelbagai masalah seperti rakyat, pelabur dan peniaga hilang
keyakinan.
Perdana Menteri juga
menafikan kenyataan pembangkang yang mendakwa kerajaan sedia ada perlu diubah
dengan sebuah kerajaan baharu kononnya bagi negara mencapai kestabilan dan
kemajuan yang lebih baik.
Katanya jika negara diubah
secara mendadak tanpa perancangan yang rapi ia belum tentu menjamin kestabilan
dan adalah lebih bijak jika negara melakukan perubahan menerusi dasar
transformasi yang telah dirancang rapi seperti dilaksanakan kerajaan BN hari
ini.
Najib berkata sejak gagasan
1Malaysia dan dasar transformasi diperkenal empat tahun lalu banyak kejayaan
telah dicapai atau dikecapi rakyat dan negara.
Beliau berkata kejayaan yang
lebih besar menanti jika rakyat dapat memberikan mandat yang lebih kuat kepada
BN pada pilihan raya umum akan datang. (Bernama)
No comments:
Post a Comment