PAPAR : Kerajaan tidak pernah
mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak untuk memberikan kad pengenalan (IC)
atau kewarganegaraan kepada pendatang asing yang tidak layak di Sabah, kata
bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Justeru, beliau menegaskan
rakyat Sabah tidak boleh mempersalahkan kerajaan semasa pentadbirannya kerana
penyelewengan seumpama itu dilakukan oleh pihak tertentu untuk kepentingan
diri.
"Saya sedar isu (Projek
IC) ini jadi perhatian rakyat Sabah. Saya ada diberitahu ada yang tak
layak...baru sampai hari ini, dah dapat IC.
"Ini bukan arahan kita,
bukan arahan kerajaan...ini adalah penyelewengan pegawai di tempat itu kerana
kepentingan lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama
sempena program 'Bicara Minda bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' di Dewan
Masyarakat Papar, dekat, sini Sabtu.
Dr Mahathir berkata demikian
ketika diminta mengulas trend kempen pembangkang yang kini lantang memainkan
isu 'Projek IC' bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum yang
akan datang.
Beliau memperjelaskan bahawa
ramai orang yang bukan berasal dari negara ini diberi hak kerakyatan kerana
mereka telah tinggal lama di negara ini serta menguasai bahasa kebangsaan.
"Ramai daripada kita
berasal dari negara lain, misalnya dari China, Arab dan India dan kesemua
mereka duduk lama di sini dan setia kepada negara ini. Kita beri kerakyatan
kalau mereka menepati syarat selepas proses ujian," katanya.
Dalam perkembangan lain,
ditanya sama ada kerajaan mampu meningkatkan royaliti minyak daripada lima
peratus sekarang kepada Sabah, Dr Mahathir, 87, berkata amalan kerajaan kini
lebih menjurus kepada perkongsian kekayaan untuk semua rakyat di negara ini.
Sebelum ini, pakatan
pembangkang dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 menjanjikan 20 peratus
kadar royalti minyak kepada rakyat Sabah.
"Kalau mereka
(pembangkang) nak bagi (lebih tinggi)...bagilah 100 peratus kepada Sabah,"
katanya yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 sebelum
berundur pada 2003.
Mengenai penubuhan kawasan keselamatan
khas, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Sabah ekoran kes pencerobohan
pengganas di Lahad Datu, Dr Mahathir berkata langkah itu wajar dan tepat pada
masanya memandang kini terdapat ancaman keselamatan yang ketara di perairan
negara.
Beliau menyifatkan tindakan
pengganas Sulu menceroboh dan membunuh sembilan anggota pasukan keselamatan di
Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada awal bulan ini, sebagai tidak bijak. (Bernama)
Baling batu, sembunyi tangan kemudian tuduh orang lain.
ReplyDelete