SEMPORNA : Polis menahan 33
suspek yang dipercayai terlibat secara
langsung dengan pengganas Sulu dan turut disyaki menyalurkan maklumat
keselamatan kepada mereka.
Ketua Polis Daerah Semporna
DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan di
kampung pinggir bakau di sini merupakan warga asing dan mereka dihantar ke Ibu
Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu untuk soal siasat.
"Mereka dihantar ke IPD
Lahad Datu untuk soal siasat kerana ia berkaitan dengan Op Daulat,"
katanya kepada pemberita, kelmarin.
Beliau berkata operasi yang
bermula pada 6.30 pagi dan berakhir pada 9 pagi memfokuskan pemeriksaan dari
rumah ke rumah dan turut menahan empat suspek wanita.
Katanya, kesemua suspek yang
berusia 18 tahun ke atas itu, disiasat kerana dipercayai mempunyai kaitan dan
melindungi pengganas Sulu.
Tinjauan Bernama ke lokasi
operasi mendapati kira-kira 100 anggota polis dari IPD Semporna, VAT 69 dan
Pasukan Gerakan Am melakukan pemeriksaan ke setiap rumah bagi mencari dan
mengesan suspek pengganas Sulu.
Op Daulat yang dilancar bagi
memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk hari
keenam hari ini dengan 53 penceroboh militan dilaporkan ditembak mati.
Sejak pencerobohan militan
pada 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua maut dalam
pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di
Kampung Simunul di sini sehari kemudian. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment