Oleh : FADZLI RAMLI
SHAH ALAM : Sebelum hari
pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas, Menteri Besar Selangor
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kononnya ada usaha membawa masuk ramai
pengundi hantu ke Selangor bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di
negeri ini.
Dakwaan sama turut dibuat
oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan angka kononnya
lebih 40,000 pengundi hantu dibawa dari Bangladesh, Sabah dan Sarawak, dengan
Selangor sebagai sasaran utama.
Tetapi bila keputusan PRU13
memihak kepada parti PAS, PKR dan DAP di negeri ini dengan mandat majoriti dua
pertiga, faktor pengundi hantu ini tiba-tiba tidak berbangkit sekurang-kurangnya
di kawasan yang mereka menang.
Logiknya jika benar ada
pengundi hantu, merekalah yang memenangkan calon-calon parti Pakatan Rakyat
ini. Kenapa bila kemenangan di pihak mereka, tuduhan itu tidak terpakai?
Hakikatnya bila PR
memperoleh mandat itu, faktor pengundi hantu yang mahu dijadikan sebab kepada
kemenangan BN, sudah tidak terpakai.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak pada Isnin telah menegaskan dakwaan itu hanyalah penipuan PR.
"Kalau ikut logik,
hendak bawa 40,000 (warga) Bangladesh (perlu) menggunakan pesawat Boeing 747
yang hanya boleh memuatkan 400 orang ... bererti 100 buah pesawat terpaksa
mendarat untuk membawa warga Bangladesh ini mengundi," katanya.
Sehingga kini tiada bukti
diketengahkan pembangkang kerana dakwaan itu sememangnya tidak berasas dan
mereka sudah tentunya tidak mahu memanjangkan lagi kisah Bangladesh ini kerana
tempelaknya kepada mereka semula.
PRU13 menyaksikan PAS dan
DAP masing-masing memperolehi 15 kerusi dewan undangan negeri manakala PKR
memperolehi 14 kerusi di Selangor. BN yang telah difitnah dengan pengundi
hantu, hanya memperoleh 12 kerusi.
Bekas pemimpin, penganalisis
politik, pemimpin politik veteran dan ahli akademik yang ditemubual Bernama
pada 2 Mei lepas telah menghidu strategi penipuan pengundi hantu itu, yang
disifatkan mereka sebagai permainan psikologi terdesak pembangkang bagi meraih
sokongan.
Mereka sependapat bahawa
serangan itu bertujuan menggambarkan sistem pilihan raya negara ini tidak adil
dan pembangkang teraniaya untuk meraih simpati rakyat Malaysia juga masyarakat
antarabangsa.
Penganalisis politik, Prof
Datuk Dr Zainal Kling berkata perasaan simpati daripada permainan psikologi itu
dijadikan senjata bagi menyemai perasaan 'sakit hati' kepada BN yang didakwa
kononnya berkonspirasi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Impak permainan psikologi
meraih simpati ini jelas dilihat dengan kemenangan besar PR di Selangor, malah
BN pula memperoleh bilangan kerusi yang sedikit kerana secara realitinya tiada
siapa yang mahu menggunakan pengundi hantu untuk kalah, apatah lagi kalah dengan
majoriti besar.
Namun sehingga semalam,
tanpa rasa bersalah dan malu PR tetap mempertahan penipuannya itu dan kali ini
lebih kepada mendakwa SPR gagal melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil
khususnya di Selangor.
Timbalan Presiden PKR Azmin
Ali mendakwa antara kerusi yang 'dicemari' dengan aduan salah laku ketika
pengundian termasuk pengundi hantu itu ialah kerusi parlimen Shah Alam dan tiga
kerusi dewan undangan negeri (DUN) iaitu Meru, Sekinchan dan Ijok.
Jika benar pengundi hantu
wujud di empat kawasan itu, maka logiknya pengundi hantu ini menyumbang kepada
kemenangan ketiga-tiga parti, iaitu PAS bagi kerusi parlimen Shah Alam dan
kerusi DUN Meru, manakala PKR dan DAP masing-masing menang kerusi DUN Sekinchan
dan kerusi DUN Ijok.
Malah mereka menang dengan
majoriti selesa di kerusi Parlimen Shah Alam menyaksikan Khalid Abdul Samad
menang dengan majoriti 10,939 undi, DUN Meru Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani
Othman menang dengan majoriti 9,079 dan kerusi DUN Sekinchan menyaksikan
Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng See Lim menang majoriti undi 2,239.
Namun apabila ditanya sama
ada ketiga-tiga parti itu akan mengemukakan petisyen pilihan raya ke atas
keputusan di Selangor khususnya empat kerusi itu, Azmin berdolak dalik dalam
memberikan jawapan.
Setelah diasak wartawan,
beliau berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji aduan yang diterima terlebih
dahulu.
Pandai pula mereka mahu
mengkaji dahulu sebelum bertindak atau bercakap apabila terkena batang hidung
sendiri.
Penipuan isu pengundi hantu
oleh PR ini sepatutnya menuntut rakyat, terutama yang menyokong atau percaya
secara melulu tanpa menimbangkan logik tuduhan itu, lebih berhati-hati dalam
reaksi dan tindakan mereka untuk tidak mengeruhkan dan menghuru-harakan proses
demokrasi negara dalam memilih pemimpin dan kerajaan melalui PRU yang telus. (Bernama)
No comments:
Post a Comment