JAKARTA : Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bekas teman karibnya, Raja Petra Kamaruddin
sebagai dalang insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah.
Selain Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu, Raja Petra turut mendedahkan, dua pemimpin PKR lain
yang terlibat dalam rancangan menggugat keselamatan negara ialah Tian Chua dan
R. Sivarasa.
Pengendali laman web
Malaysia Today itu berkata, Anwar, Tian Chua dan Sivarasa pernah mengadakan
perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur
Misuari yang bertujuan merancang pencerobohan pengganas Kiram.
RAJA Petra Kamaruddin
bercakap kepada pemberita sebelum memberi kenyataan kepada polis di luar
bangunan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia, kelmarin.
Menurut Raja Petra,
permulaan kepada perancangan membawa masuk pengganas Kiram bertitik tolak pada
pertemuan antara Anwar dan Misuari di Hotel Crown Plaza, Jakarta pada 16 Julai
tahun lalu.
Selepas pertemuan sulung
itu, pakatan tiga pemimpin PKR itu tegas Raja Petra, mengatur perjumpaan lain
untuk merancang strategi bagi menggugat keselamatan negara.
"Selain Anwar, orang
seperti Tian Chua dan Sivarasa juga terlibat (dalam perancangan dan pertemuan
dengan Misuari)," dedah Raja Petra kepada pemberita ketika ditemui di sini
semalam.
Raja Petra tiba dari
Manchester, United Kingdom pada Rabu lalu untuk memberi keterangan kepada
pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di pejabat Kedutaan Besar
Malaysia di sini.
Beliau sebelum ini pernah
mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua Pembangkang itu mempunyai kaitan
dengan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu dalam artikelnya.
Artikel berkenaan yang
bertajuk Kisah di sebalik insiden Lahad Datu disiarkan Raja Petra di dalam
laman web Malaysia Today pada 25 Mac lalu.
Raja Petra turut menegaskan,
Anwar tidak pernah menafikan pertemuan dengan Misuari.
Sehubungan itu, Raja Petra
mengesyaki ada agenda tersembunyi antara Anwar dan Misuari.
"Anwar tidak pernah
menafikan beliau pernah bertemu dengan Misuari. Tian Chua dan Sivarasa juga
tidak menafikan pertemuan itu," sambung Raja Petra lagi.
Tegas Raja Petra,
pemimpin-pemimpin PKR itu sebaliknya hanya menafikan perjumpaan itu ada kaitan
dengan isu Lahad Datu.
Raja Petra berkata,
kesanggupan beliau terbang jauh ke Jakarta ialah untuk direkodkan keterangannya
oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan.
Justeru, beliau tidak akan
menafikan apa yang beliau tulis kepada polis dan akan bertanggungjawab
sepenuhnya ke atas penerbitan artikel itu.
No comments:
Post a Comment