TENOM: Kemenangan calon-calon
Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Tenom, Dewan Undangan Negeri (DUN)
Melalap dan Kemabong sudah dijangka berdasarkan sokongan rakyat di kawasan ini
semakin kuat.
Ketua Anak Negeri Angkangon
Sangul berkata, kerusi Parlimen Tenom yang berjaya dipertahankan oleh calon BN
Datuk Raime Unggi kekal di tangan memandangkan sokongan rakyat yang kuat dan
masih mahu pembangunan diteruskan di kawasan ini.
Katanya, rakyat di kawasan
ini masih menaruhkan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kerajaan kerana rekod
baik Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di peringkat Kerajaan
Pusat dan Datuk Seri Musa Haji Aman di Peringkat Kerajaan Negeri.
"Begitu juga bagi DUN
Melalap dan DUN Kemabong yang masing-masing dipertahankan oleh Datuk Radin
Malleh dan Datuk Rubin Balang kekal di tangan BN kerana rakyat masih mahu
pembangunan di kawasan mereka," katanya ketika diminta mengulas kemenangan
BN menyapu bersih tiga kerusi di kawasan ini.
Angkangon berkata,
kemenangan BN di Parlimen Tenom, DUN Melalap dan DUN Kemabong memang sudah
dijangka kerana sokongan rakyat majoriti masih kepada BN.
Ini katanya, bermakna
kawasan kerusi Parlimen Tenom, DUN Kemabong dan DUN Melalap masih menjadi
penyumbang kepada BN Sabah sebagai Simpanan tetap BN.
Sementara itu seorang pemimpin
masyarakat Cina Kapitan Wong Tet Yun berkata, kemenangan BN di satu kerusi
Parlimen dan dua kerusi DUN di kawasan ini sudah dijangka awal kerana
perpecahan parti pembangkang itu sendiri.
Katanya, parti-parti
pembangkang masing-masing meletakkan calon dalam satu kerusi manakala BN hanya
meletakkan seorang dalam kerusi itu.
"Ini sudah jelas
memberi kelebihan dan kemenangan kepada calon-calon BN yang bergabung dalam
satu pasukan berbanding pembangkang yang masing-masing beraksi di gelanggang
yang sama," katanya.
Keputusan Pilihan Raya Umum
Parlimen P.181 Tenom menyaksikan kemenangan calon BN Datuk Raime Unggi mendapat
undi 9,771 dengan majoriti 3,886 menewaskan pencabar-pencabarnya Masidin Thomas
(PKR) dengan Undi 5,885; Hasmin @ Azroy Abdullah (STAR) yang mendapat undi
2,446 undi; Jimmy Jawatah (SAPP) dengan perolehan undi 1,766 dan Mutang @
Sylvester Dawat (KITA) yang hanya mendapat 423 undi.
Bagi DUN Kemabong, Datuk
Rubin berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak Kerajaan PBS dahulu
yang mendapat undi 5,765 dengan majoriti 3,032 menewaskan pencabar-pencabarnya
Biou Suyan (PKR) dengan undi 1,155 dan William Ensor Tingkalor (SAPP) yang
mendapat undi 1,047.
Sementara itu bagi DUN
Melalap, Datuk Radin Malleh yang diramalkan banyak pihak akan kecundang kerana
kemunculan calon baru, berjaya mempertahankan kerusinya dengan undi 4,643 dan
majoriti 2,599 menewaskan pencabar-pencabarnya Roger Stimin (SAPP) dengan undi
2,004; Norita Sual (DAP) dengan undi 1,992 dan Kong Fui Seng (STAR) dengan undi
924.
No comments:
Post a Comment