Wednesday 8 May 2013

TIADA ISTILAH 'TSUNAMI CINA'






KOTA KINABALU: Adalah tidak adil mengatakan 'Tsunami Cina' telh menyebabkan banyak kawasan bandar di negara ini terlepas daripada tangan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke13 lalu.

Presiden Persekutuan Perkilangan-Perkilangan  Sabah, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau, percaya bahawa kejadian itu menampakkan jelas bahawa ianya adalah 'Tsunami Bandar' memandangkan pola pada PRU13 adalah pertandingan di antara pengundi bandar dan pendalaman.

"Kita dapat lihat bahawa pengundi di kawasan bandar lebih cenderung untuk memihak kepada Pakatan Rakyat dan kebetulan ramai komuniti Cina tinggal di bandar.

"Namun kena ingat bahawa kawasan bandar itu juga didiami oleh masyarakat kaum Cina, india dan lain-lain yang berasal daripada kelas pertengahan. Mereka memilih PR manakala kawasan pendalaman pula memilih BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan anugerah usahawan muda kreatif junior Chamber Internasional (2013 JCI CYEA) di sini kelmarin.

Beliau berkata, terdapat kemunkinan masyarakat di bandar itu inginkan kerajaan BN untuk mengubah sesuatu di kawasan bandar.

Wong berharap selepas sekian lama berjuang untuk menentukan masa depan politik masing-masing, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menjalani kehidupan normal seperti sebelumnya.

Sebelum itu dalam ucapannya, beliau berkata perubahan positif dalam minda para usahawan  muda adalah penting kerana dengan cara itulah mereka mampu mengecapi kejayaan yang tinggi.

Menurutnya, pemikiran kreatif dan inovasi adalah perkara yang perlu ada pada belia usahawan pada ketika kini bagi mencapai kehidupan yang lebih baik dalam suasana cabaran yang sangat sengit.

Wong mengingatkan bahawa seseorang itu harus mempunyai idea yang kreatif dan mempunyai pendekatan yang inovasi untuk melaksanakan idea itu.

"Selain itu, daya saing juaga adalah penting kerana dengan cara itulah kita mampu bersaing untuk menjadi lebih baik daripada orang lain.

"Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa komuniti perniagaan di negara ini perlu mempunyai suasana persaingan yang positif dan bukannya monopoli.. kerana persaingan itu mampu melonjak lagi ekonomi ke arah yang lebih maju," katanya.

No comments:

Post a Comment