Wednesday 8 May 2013

PEMUDA MAUT DIREMPUH KERETA






REMUK....Keadaan kenderaan Mitsubishi Mirage yang remuk di bahagian hadapan setelah terlibat dalam insiden itu.

KOTA KINABALU: Seorang pemuda tempatan terbunuh setelah dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran bangunan pusat beli belah City Mall, Jalan Kolombong malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ignatius Ihjonis, 21, meninggal dunia setelah dikejarkan ke hospital ekoran mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan ketika insiden terjadi sekitar jam 11.50 malam itu, mangsa telah pergi bertugas menurunkan bendera dan bahan kempen sejurus proses keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) diumumkan.

Bagaimanapun, mangsa telah dirempuh oleh sebuah kereta jenis Mitsubishi Mirage, dipandu seorang lelaki berusia 20an yang dalam perjalanan dari Kinarut ke Kolombong sehingga menyebabkannya tercampak beberapa meter.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan berkata mangsa telah meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipandu lelaki berumur 20an berhampiran bangunan City Mall kira-kira jam 11.50 malam semalam.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika digegaskan ke HQE,” katanya.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (UB)

No comments:

Post a Comment