KUALA LUMPUR: Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN)
tidak tumbang walaupun sebahagian besar kaum Cina menyokong pembangkang seperti
yang dilihat dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Najib, yang juga Pengerusi
BN, berkata realitinya ialah kaum Bumiputera dan masyarakat India masih memberi sokongan
kepada kerajaan pimpinan BN untuk terus menerajui negara berdasarkan mandat
yang diperoleh dalam PRU13, Ahad lepas.
“Kita harus sedar bahawa
parti pembangkang khususnya DAP telah menggambarkan kepada masyarakat Cina
(kononnya) mereka boleh mengubah kerajaan…malah slogan yang digunakan seolah-olah
(kalau) orang Cina sokong pembangkang, mereka boleh ubah kerajaan.
“Hakikat dan realitinya
walaupun sebahagian besar (masyarakat Cina) sokong pembangkang, tetapi kerajaan
tidak tumbang, kerajaan BN masih kekal,” katanya kepada pemberita selepas
mengadakan perjumpaan khas dengan anggota parlimen baharu BN di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Perjumpaan tertutup selama
hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Najib menarik perhatian
walaupun sokongan kaum Cina terhadap DAP di sesetengah kawasan dilihat mencecah
antara 85 dan 95 peratus, namun kerajaan BN masih kekal kerana kaum Bumiputera
dan India di banyak kawasan lain masih percaya kepada gabungan itu.
Menurutnya, apa yang
digambarkan pembangkang terutama DAP merupakan satu penipuan besar terhadap
kaum Cina sehingga masyarakat itu yakin undi mereka dapat mengubah kerajaan
sedia ada.
“(Ini) seperti janji pada 16
Sept (2008 untuk menawan Putrajaya). Storyline (jalan cerita) ini (untuk tukar
kerajaan) tidak betul dan banyak ditokok tambah, direka cerita,” katanya.
Najib berkata satu lagi
penipuan yang dilakukan pembangkang pada PRU13
ialah dakwaan tidak logik BN membawa masuk lebih 40,000 warga Bangladesh
sebagai pengundi untuk memastikan kemenangannya.
“Kalau ikut logik, nak bawa
40,000 (warga) Bangladesh (perlu) menggunakan pesawat Boeing 747 yang hanya
boleh memuatkan 400 orang…bererti 100 buah pesawat terpaksa mendarat untuk
membawa warga Bangladesh ini mengundi,” katanya.
Namun, beliau berkata sehingga
kini tiada bukti diketengahkan pembangkang kerana dakwaan itu sememangnya tidak
berasas,” tegasnya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment