Friday 10 May 2013

TINDAKAN TERHADAP PENSABOTAJ PARTI






KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mengambil tindakan mengikut perlembagaan parti itu terhadap mana-mana pemimpin atau ahli peringkat cawangan dan bahagian didapati mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad lepas.

Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata ini dianggap perlu kerana laporan awal menunjukkan pensabotaj adalah punca utama menyumbang kepada kekalahan calon parti di kawasan tertentu dan majoriti tipis calon yang menang.

Pairin, yang menang kerusi Parlimen Keningau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, berkata beliau menunggu laporan penuh mengenai perkara itu sebelum mengambil tindakan terhadap pensabotaj.

Mengikut laporan awal, beliau berkata calon yang menang tipis boleh mendapatkan majoriti besar jika tidak berlaku perbuatan mensabotaj ini.

"Kita perlu tegas dalam hal ini...kita tidak bertolak ansur dengan pensabotaj," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan calon parti itu di Kota Kinabalu, Khamis.

Perkara 6 (ii)(a) Perlembagaan PBS menyatakan mana-mana ahli yang dengan sengaja memohon atau mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parti politik yang lain atau bertindak atau berkelakuan sedemikian rupa yang mungkin memudaratkan kepentingan parti atau mana-mana bahagian hendaklah terhenti menjadi ahli parti.

Pada PRU13, PBS, sebuah parti komponen BN negeri, diperuntukkan lima kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, calon BN dari PBS menang Tawau, Kota Marudu, Batu Sapi dan Keningau tetapi kalah kerusi Parlimen Kota Kinabalu kepada DAP.

PBS juga mengalami kekalahan mengejut kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi DUN Tamparuli, Kadamaian, Matunggong, Inanam, Api-Api dan Sri Tanjong.

Bagaimanapun, parti itu berjaya memenangi kerusi DUN Tambunan, Kiulu, Tandek, Kundasang, Labuk, Melalap dan Tanjung Aru. (Bernama)

No comments:

Post a Comment