Sunday, 1 August 2010

JASA PERAJURIT TIDAK DIABAIKAN




KENANGAN...Tun Ahmad Shah (tengah) menerima cendera kenangan yang disampaikan wakil Persatuan Bekas Tentera Negara Brunei Darussalam sempena majlis makan malam dan perasmian Kutipan Rayuan Hari Pahlawan peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu.


Oleh: ARSHAD HUSSIN

JASA dan bakti para perajurit tanah air yang telah berkorban nyawa serta para pahlawan yang terkorban menyahut seruan ibu pertiwi mempertahankan kedaulatan negara ini tidak seharusnya diabaikan begitu sahaja malah pengorbanan mereka hendaknya dihargai oleh segenap lapisan rakyat negeri ini.

Tanpa pengorbanan pasukan keselamatan menjaga keamanan baik di perbatasan maupun disegenap pelusuk tanah air sudah pasti kesejahteraan, keamanan serta kemakmuran yang dinikmati tidak akan dapat dikecapi oleh seluruh rakyat hari ini.

Pengerusi Rayuan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran menjelaskan, saban tahun Negara menyambut Hari Pahlawan semata-mata memperingati pahlawan-pahlawan yang berjuang membela tanah air.

Katanya, ini menunjukkan betapa kerajaan amat mengambil berat kebajikan pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.

Datuk Nasir yang juga Menteri DiJabatan Ketua Menteri berkata demikian sempena majlis Makan Malam & perasmian Kutipan Hari Pahlawan peringkat Negeri Sabah 2010.

Perasmian dan pelancaran Kutipan Hari Pahlawan itu dilaksanakan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji AhmadShah Abdullah.

Nasir berkata,setiap warga Negara ini seharusnya merasa bangga serta berterima kasih kepada anggota-anggota tentera dan pasukan keselamatan tanah air sama ada yang telah gugur di medan pertempuran mahupun yang masih berkhidmat mempertahankan Negara dari pelbagai ancaman musuh negara.

Katanya, dengan kepimpinan bersilih ganti Perdana Menteri sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah hari ini YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengilhamkan gagasan 1Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan, sudah pasti Hari Pahlawan yang disambut tahun ini akan sentiasa menambah kuat ingatan dan kenangan kepada jasa para pahlawan yang gugur diberikan keutamaan dengan mengadakan sumbangan serta bantuan kepada ahli keluarga mereka yang sama-sama berjuang dengan perasaan dan dorongan semangat kasih sayang.

Sehubungan itu juga sebagai tanda penghormatan serta menghargai pengorbanan pahlawan-pahlawan ini, Datuk Nasir mengajak seluruh rakyat menghulurkan bantuan sekedar terdaya kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sabah yang mewakili bekas tentera dan ahli keluarga mereka.

Majlis Kutipan Rayuan Hari Pahlawan itu dilaksanakan bersana PBTM dengan Jabatan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sabah.

Sempena majlis itu juga 19 orang pesara pegawai-pegawai dan anggota tentera menerima pingat disampaikan Tun Haji Ahmad Shah Abdullah.

No comments:

Post a Comment