Wednesday 4 August 2010

MULTI PLUG BERBAHAYA DI PASARAN




Saudara Pengarang,

DALAM senario kenaikan harga barang dan inflasi, penguatkuasa semakin lemah menjalankan tugas sehingga membahayakan pengguna kerana lambakan barangan elektrik dan peralatan yang tidak mencapai piawaian berada di pasaran.

Baru-baru ini saya membeli sebuah ‘Multi-Plug’ (gambar atas) di sebuah supermarket di Labuan dan nasib baik sebelum saya mahu meninggalkan rumah saya sempat memeriksa semua outlet elektrik di rumah saya.

Tiba-tiba saya ternampak asap keluar daripada multi-plug yang saya beli minggu lalu dan segera mematikan suiz sedangkan saya hanya gunakan untuk satu peralatan sahaja ketika itu, iaitu untuk perakam video.

Saya tertanya-tanya kenapa barangan elektrik yang tidak mempunyai sijil kelulusan atau piawaian ‘Sirim’ yang biasanya diwakili pelekat Sirim dibenarkan dijual di pasaran sehingga membahayakan para pengguna, terutama penduduk luar Bandar yang hanya mempunyai satu atau dua soket di rumah.

Bukankah satu kemestian semua peralatan yang mahu dijual di pasaran harus mendapat Sijil atau piawaian Sirim? Saya tidak tahulah kalau sijil berkenaan kini berbentuk wang atau rasuah?
Saya mohon agar Sirim mengeluarkan garis panduan dan menjalankan pemeriksaan rambang di semua kedai yang menjual peralatan elektrik yang membahayakan demi untuk menyelamat harta benda dan jiwa.

Sekian, Salam Hormat

PEMBELI YANG TERPEDAYA

No comments:

Post a Comment