TOP-UP… Projek ini dipercayai agak mahal kerana mana mungkin menelan belanja RM3juta bagi kerja menurap semula jalan sepanjang 900 meter sahaja, sedangkan kos untuk membina jalan baru bertar hanya RM1 juta bagi satu kilometer?
Saudara Pengarang,
SAYA memuji usaha Sabahkini.net kerana begitu yakin dan berupaya membongkar karenah birokrasi kerajaan terutamanya pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik UMNO dan BN tanpa rasa takut dan tunduk kepada tekanan pihak terbabit.
Peranan Sabahkini.net sangat relevan untuk membantu negara dalam proses membersihkan korupsi dan penyelewengan yang boleh meruntuhkan negara.
Artikel terbaru berhubung isu pembolotan projek jutaan ringgit di kalangan pemimpin- pemimpin UMNO Bahagian Tenom dan juga isu proses pengundian berkomputer untuk projek PPRT di Kemabong berjaya membuka mata banyak pihak terutamanya SPRM kerana begitu seriusnya amalan rasuah dan penyelewengan berlaku di Tenom.
Jika dahulu, Tenom merupakan sebuah daerah tersorok di Pedalaman yang lebih dikenali sebagai daerah pengeluar Kopi Tenom, tetapi sekarang ini terkenal pula kemajuannya dari segi penyelewengan.
Pada awalnya, saya langsung tidak percaya bahawa dakwaan rakyat Tenom kononnya para pemimpin UMNO Tenom kebanyakkannya sudah mencapai status jutawan, ada rumah banglo di Kota Kinabalu malah di Kuala Lumpur; berkereta mewah dua tiga buah, tetapi itu mungkin usaha titik peluh pemimpin terbabit.
Namun setelah rahsia penyelewengan terbongkar, maka fahamlah saya bahawa kekayaan mendadak mereka berpunca daripada gejala buruk seperti pembolotan projek dan kegiatan sengaja ‘menaikkan harga tinggi sesuatu projek untuk kepentingan kekayaan mendadak mereka’.
Ironinya, kegiatan salah seorang pemimpin UMNO Tenom yang berjawatan dalam kerajaan, digaji kerajaan tetapi datang ke pejabatnya menghabiskan masa untuk mengurus projek dan kekayaannya, tetapi tidak diambil tindakan mengikut Perintah Am Kerajaan.
Anehnya lagi, pemimpin ini boleh lakukan ikut sesuka hatinya sama ada mahu datang ke pejabat buat kerja atau terus berminggu-minggu berpoya-poya di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur malah ke India.
Tiada siapa yang berani menegurnya sedangkan gajinya terus dibayar kerajaan. Persoalannya, apakah kegiatan ini terus menerus dibenarkan oleh kerajaan BN yang memerintah? Bagaimana pula pandangan parti-parti komponen BN lain yang berkongsi kuasa dengan UMNO? Wahai SPRM! Bangkitlah dari lamunanmu!
Kami sebagai rakyat jelata dan pembayar cukai, inginkan keadilan kerajaan BN dalam mengurus harta dan kewangan awam. agar negara ini tidak muflis gara-gara segelintir pemimpin yang rakus, tamak dan haloba. Sumbatlah mereka ini ke dalam penjara sebelum negara jadi bahaya!
Salam Media,
PENYOKONG KUAT BN TENOM
No comments:
Post a Comment