BERSATU....bersatu kita bersatu, dengan setia berganding bahu, semua projek kita sapu, barulah UMNO maju! Bersama kita bersama, mendukung hasrat semua, berjasa pada ketua, diri dan keluarga, barulah kita berguna!
Oleh: GONOD SUNDA
GELOMBANG perebutan projek di kalangan ahli jawatankuasa dan penyokong kuat UMNO Tenom semakin membadai apabila Setiausaha Barisan Nasional pula yang bertindak sebagai ‘KingPin’ bagi beberapa ‘Key Players’ untuk membolot projek PPRT kawasan Kemabong bernilai ratusan ribu ringgit setelah mereka tidak berpuas hati dengan sistem pengundian berkomputer yang dijalankan di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu.
Setiausaha BN itu dikatakan ‘melenting’ kerana ‘kroni dan proksinya’ tidak berjaya mendapat sebarang projek kecil lalu mendesak Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang campurtangan bagi membatalkan keputusan itu dan mengadakan cabutan secara ‘manual’; sedangkan sebelum ini sistem manual telah dicaci kerana kononnya tidak telus dan diragui justifikasinya.
Menurut pandangan kolot Setiausaha BN tersebut, undian secara manual akan lebih berpihak kepada Setiausaha BN dan segelintir pemimpin Umno lain yang mempunyai lesen kontraktor PKK Kelas F.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah ‘memujuk’ kontraktor yang telah berjaya dan telahpun dimaklumkan untuk memulakan kerja-kerja projek tersebut untuk menyerahkan kembali surat tawaran? Sudah tentunya ‘Mission Impossible’ ini tidak akan berjaya kerana kontraktor terbabit tidak akan tunduk kepada arahan pembatalan itu sebaliknya akan menyaman kerajaan dalam bentuk tindakan guaman, ‘Breach of Contract’.
Ramai yang berpendapat, jika saman menyaman itu berlaku, ia akan menjadi satu lagi titik sejarah hitam bagi kerajaan BN di Sabah hanya kerana kelibat buruk Setiausaha BN Tenom yang boleh disifatkan sebagai ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.
Apakah kerajaan BN boleh akur atau tunduk kepada kemahuan Setiausaha BN yang sudahpun kayaraya tetapi masih bersifat ‘tamak dan haloba’ mahu mengaut semua kekayaan negara?
“Perlukah SPRM berdiam diri dalam masalah ini? Atau apakah SPRM membiarkan pemilikan projek jutaan ringgit nilainya yang diragui prosesnya seolah-olah mengenepikan prosedur kerajaan sepertimana termaktub di dalam Akta Acara Kewangan dan Arahan Perbendaharaan terutama sekali dalam sistem tender dan sebut harga?,” ujar salah seorang penjawat awam setelah didesak dengan pelbagai soalan oleh Krew Sabahkini.net.
Difahamkan bahawa pada 6 Ogos 2010, satu pengundian berkomputer telah diadakan di Pejabat Pegawai Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu. Proses pengundian itu dikendalikan sepenuhnya oleh PPNS serta disaksikan oleh Timbalan Pengarah PPNS dan juga beberapa Pegawai daripada KPLB.
Bilangan keseluruhan kontraktor yang mendaftar pengundian itu seramai 77 orang manakala yang datang hanya 24 orang namun perkiraan untuk dibenarkan menyertai pengundian itu adalah kesemua 77 peserta memandang mereka juga berkelayakan yang mengambilkira bahawa mereka telahpun membuat pendaftaran.
Hasil pengundian secara berkomputer, 16 kontraktor telah berjaya mendapat projek sedangkan sebelum pengundian dijalankan, satu taklimat telah pun diberi dan semua kontraktor yang mendaftar mempunyai peluang dan ‘level’ yang sama dari segi hak dan bukan di sebaliknya.
Sebaik sahaja keputusan pengundian berkomputer itu diketahui hasilnya, protes demi protes dari pihak yang tidak berjaya dalam pengundian itu telah mula berlaku sehinggakan banyak perkara ditimbulkan malah dipertikaikan, di antaranya kenapa diadakan di PPNS Kota Kinabalu dan tidak dibuat di Kemabong.
Menurut seorang Penjawat Awam yang enggan dikaitkan di dalam pertikaian ini, ketika dihubungi menjelaskan bahawa, proses pengundian berkomputer hanya boleh dilakukan di Pejabat PPNS Kota Kinabalu.
Sistem itu tidak dapat dibawa ke daerah lain kerana ketidak sesuaian prasarana; tambahan pula bukan arahan khusus daripada pihak PPNS kerana Pejabat Daerah Kemabong sekadar meminta bantuan PPNS demi ketelusan dan keadilan seperti yang dikehendaki para kontraktor.
Pegawai itu menambah, mereka sebelum ini telah dimomokkan dengan pelbagai tuduhan ketidak telusan berhubung sistem pengendalian secara ‘manual’ yang dianggap kontraktor lain sebagai tidak adil dan Pegawai Penjawat Awam bersekongkol dengan pemimpin Politik.
Demi keadilan dan ketelusan semua pihak kata Pegawai itu lagi, mereka berusaha sedaya upaya melakukan pembaharuan yang terbaik terhadap sistem cabutan yang sering dipertikaikan ketelusannya dan bukan mempunyai agenda lain.
Pegawai itu turut memohon kerjasama daripada pihak tertentu agar memberikan laluan dan peluang seluas-luasnya kepada penjawat awam melakukan tugasan mereka demi mempertahankan imej kerajaan daripada tercalar di mata masyarakat sekeliling.
No comments:
Post a Comment