Thursday, 14 July 2011

47 TAHUN MERDEKA, BINGKOR TIADA BALAI POLIS?



PONDOK….Penduduk memerlukan sekurang-kurangnya sebuah Pondok Polis seperti ini atau Balai Polis di Pekan Bingkor.

Oleh : ROZIE JUMAT

PENDUDUK di Pekan Bingkor, Keningau merayu pihak berkuasa mewujudkan sebuah pondok polis di kawasan tersebut dan melakukan rondaan yang lebih kerap ekoran berlaku beberapa kejadian jenayah yang amat membimbangkan penduduk.

Wakil penduduk, Jailin Lian berkata, baru-baru ini satu cubaan menculik dua pelajar sekolah rendah di Bingkor ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Anak kami dipujuk masuk ke dalam kereta oleh seorang yang tidak dikenali, namun mujurlah ada orang dewasa yang melihat kejadian itu dan penculik terus melarikan diri,” kata Jailin, mewakili orang awam yang bimbang dengan kejadian itu dari berlaku lagi.

Katanya, keadaan di Pekan Bingkor juga kini tidak berapa selamat kerana seorang peniaga dirompak oleh lelaki bermotorsikal yang dipercayai sudah lama mengintip dan merancang rompakan berkenaan pada sabtu lalu.

Bahkan katanya, pada awal pagi rabu ketika seorang peniaga di Pekan Bingkor sedang membersihkan kedainya, tanpa disedarinya beg yang berisi barang berharga telah dilarikan oleh pencuri.

“Kami meminta Polis membuat rondaan yang kerap kerana keadaan di Bingkor masa kini sangat membimbangkan orang awam. Kami juga meminta polis menempatkan Balai Bergerak buat sementara waktu,” katanya.

Jailin mengakui, beliau kerap menerima aduan dari orang ramai tentang kelibat orang yang tidak dikenali cuba mempengaruhi pejalan kaki untuk ‘berkawan’ atau ‘mahu minta ditemani’ dalam keadaan yang mencurigakan.

“Pekan Bingkor bukan lagi seperti dulu. Kini telah menjadi pekan jenayah dan semakin meningkat setiap hari, terutama kecurian hartabenda oleh pendatang asing tanpa izin kerana ketiadaan polis,” kata Jailin yang memaklumkan penduduk tidak lagi dapat bersabar dengan kejadian yang semakin serius.

Sehubungan itu, Jailin merayu Pesuruhjaya Polis Sabah agar agar membina sebuah pondok polis bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan di sini.

Beliau turut mengingatkan ibubapa memberi nasihat kepada anak-anak mereka agar tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.

“Kejadian cubaan menculik adalah perkara terbaru yang cukup mencabar kesabaran kami di sekitar Bingkor, hinggakan ada ibubapa yang bimbang menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.

Jailin tidak menolak kemungkinan para penculik atau orang yang cenderung untuk melakukan jenayah menggangap kawasan luar bandar sebagai tempat yang sesuai untuk melakukan perbuatan terkutuk mereka, memandangkan jauh daripada Pusat Bandar dan Balai Polis.

“Palis-palis jika mereka ini menculik untuk tujuan penyeludupan manusia dan pemerdagangan manusia seperti yang berlaku di Kalimantan, Indonesia,“ ujar Jailin yang juga Pengerusi Panel Kesihatan Klinik Bingkor.

No comments:

Post a Comment