Thursday, 14 July 2011

JANGAN TERLIBAT AKTIVITI TIDAK BERMANFAAT



TAHNIAH ... Musa (tiga kanan) menyampaikan Anugerah Cemerlang kepada Jabatan Tanah dan Ukur yang diterima oleh pengarahnya, Datuk Osman Jamal sambil diperhatikan dari kiri ke kanan, Maznah, Salleh, Sukarti dan Pengiran Hassanel.

KETUA Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan penjawat awam di Sabah supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti tidak bermanfaat yang didalangi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata penjawat awam sepatutnya memberi fokus kepada peranan, tanggungjawab serta amanah yang dipikul selaku jentera pelaksana pembang- unan negeri.

“Jangan sesekali terlibat dengan hal-hal tidak berfaedah seperti perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan yang secara jelasnya membawa kerugian kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan di sini kelmarin.

Beliau turut meminta mereka supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja ingin memporak perandakan keharmonian dan kerukunan hidup yang selama ini dinikmati di negeri ini.

“Kita bersyukur dan gembira kerana rakyat Sabah tetap menghargai keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati dan tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba menggugat kestabilan negara,” katanya.

Musa juga mahu Pegawai Daerah agar sentiasa mengambil tahu permasalahan rakyat di kawasan masing-masing selain memantau perkembangan projek kerajaan dan rakyat yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Hal ini perlu saya tekankan kerana saya sering menerima laporan termasuk menerusi ‘facebook’ rasmi saya yang banyak mengutarakan tentang masalah yang dihadapi rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Saya rasa luahan hati serta rintihan daripada rakyat ini ada asasnya dan perlu diteliti sebaik mungkin supaya kerajaan termasuk penjawat awam tidak terus dipersalahkan atas ketidakcekapan dan kegagalan kita menangani isu berkenaan,” katanya.

Mengenai isu pemberian geran komunal di Sabah, Musa berkata kerajaan sentiasa mendengar pandangan dan keluhan rakyat termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam melaksanakan pemberian geran tanah secara berkelompok itu.

“Kita bukanlah kerajaan dictator, malah kita sentiasa mendengar pandangan rakyat termasuk dalam urusan pemberian geran komunal,” katanya.

Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan dan keadaan terutama dalam membela nasib rakyat di Sabah.

Turut hadir pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Salleh Tun Said, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Dr Yee Moh Chai serta Menteri-menteri Kabinet, Pembantu-pemabantu Menteri dan Wakil-wakil Rakyat.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Haji Mohd. Tahir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga pengerusi penganjur majlis, Datuk Maznah Ghani, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir ketua-ketua jabatan dan agensi serta para pegawai daerah. (New Sabah Times)

No comments:

Post a Comment