Friday, 8 July 2011

KERJASAMA SABAHKINI-JKR BERJAYA



Oleh : KREW SABAHKINI.NET

HASIL aduan dan pemantauan bersama Sabahkini.net-JKR, keadaan jalan yang tidak rata dan membahayakan para pengguna di jalan utama menuju ke Taman Indah Jaya telahpun selesai diperbaiki dan diselenggara oleh pihak JKR Kawasan Sandakan.

Aduan yang difailkan wartawan Sabahkini.net, Chang Shak Hung pada awal November 2010 kepada Jurutera Kanan JKR Sandakan, Jafaar Tuah dan kakitangannya, Jasman telah diambil tindakan segera mengikut saluran akauntabiliti kerajaan.

Keadaan jalan yang teruk, terutamanya di kawasan U-turn dan simpang susur masuk ke masjid di Taman Indah Jaya, telah mendapat perhatian JKR yang terus memohon peruntukan segera bagi membaiki jalan tersebut; namun kelewatan peruntukan disalurkan menyebabkan penduduk Sandakan terpaksa bersabar menggunakan jalan yang tidak sempurna, termasuklah Adun ELopura yang tinggal di kawasan berkenaan.

Melalui aduan yang dibuat pada hari berkenaan, kenderaan terpaksa diperlahankan ketika melalui jalan yang tidak rata sehingga menyukarkan mereka untuk melalui jalan tersebut dan membahayakan pemandu di belakang; kerana tidak dapat mengagak kenderaan di hadapan, yang memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba.

Wartawan Sabahkini.net bersama-sama beberapa orang penduduk yang menetap di Taman Indah Jaya, Batu 4, Sandakan telahpun meninjau ke lokasi berkenaan bersama dengan Jafaar Tuah dan Jasman sebagai tinjauan akhir untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut memuaskan hati pengguna.

Sabahkini.net mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi tahniah dan syabas di atas kerja keras Jafaar Tuah dan Jasman kerana telah bertungkus-lumus memberikan kerjasama sepenuhnya, termasuk menerima dan melayan aduan yang dikemukakan wartawan Sabahkini.net.

Para penduduk yang hadir pada hari berkenaan juga melahirkan rasa kesyukuran dan amat berterima kasih kerana adanya bantuan serta pelaksanaan tanggungjawab yang telah diberikan oleh wartawan Sabahkini.net dengan kerjasama JKR Sandakan telahpun berhasil.

Khidmat masyarakat yang ditunjukkan oleh wartawan Sabahkini.net ini seharusnya dicontohi oleh masyarakat di Sandakan terutamanya golongan muda tanpa mengira bangsa, agama, kaum serta fahaman politik.

No comments:

Post a Comment