Friday, 8 July 2011

SABAH TOLAK PEMUTIHAN PATI



SABAH akan melaksanakan hanya lima perkara daripada Program 6P yang akan dilaksanakan di seluruh negara bulan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata Sabah tidak akan melaksanakan proses Pemutihan yang dilaksanakan sebelum ini tetapi mengundang lebih ramai kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Di Sabah ia dikenali sebagai 5P sahaja. Kita tolak proses Pemutihan yang kita sudah buat sebanyak empat kali pada 1997, 1998, 2008 dan 2009.

"Apa yang kita buat ialah untuk mendaftar dahulu Pati yang ada di Sabah selaras dengan keputusan di pihak persekutuan, iaitu untuk mendapatkan maklumat berapa ramai Pati yang kita ada dan apakah keperluan pekerja asing yang diperlukan oleh sektor-sektor ekonomi di Sabah," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Pengarah Imigresen Negeri, Mohammad Mentek berkata, 5P yang akan dilaksanakan di Sabah ialah Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Beliau berkata dua minggu diperuntukkan untuk proses pendaftaran secara percuma mulai 18 Julai dan dua bulan diperuntukkan untuk tempoh pengampunan yang mana Pati dikehendaki pulang ke negara asal mereka secara sukarela.

"Jika dua minggu tempoh pendaftaran tidak mencukupi, kita akan lanjutkan dua minggu lagi," katanya.

Mohammad berkata empat kategori Pati yang perlu mendaftar ialah mereka yang masuk secara tidak sah, tinggal lebih tempoh pas lawatan sosial, melanggar syarat-syarat pas kerja dan mereka yang memiliki pasport yang dikeluarkan oleh kedutaan atau konsulat di negara ini.

Beliau berkata sembilan lokasi dikenal pasti untuk proses pendaftaran iaitu di dewan-dewan masyarakat di Kudat, Menggatal, Ranau, Keningau, Sipitang, Tawau dan Lahad Datu serta Balai Seni Inabah di Semporna.

Beliau juga berkata Pati yang telah melalui proses pemutihan di Semenanjung atau di Sarawak tidak dibenarkan masuk ke Sabah.(BERNAMA)

2 comments:

  1. langkah sia-sia, hangat-hangat tahi ayam, seperti membuang kahak ditangga... kerja VVIP 1Malaysia UMNO/BN sanggup menggadai maruah bangsa asal Sabah untuk berkuasa... (Sabah tidak akan melaksanakan proses Pemutihan yang dilaksanakan sebelum ini tetapi mengundang lebih ramai kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).PATI tetap akan berselindung di daerah Sandakan, Beluran, Penampang, Tambunan dll, kerana tiada operasi...

    ReplyDelete
  2. kami bukan mau juga jadi pendatang Haram.............tetapi kami mau bayar untuk Dependent.bagaimana caranya tidak...tau..........pakai pass apa saja kan boleh yang penting keluarga kami bisa...menemani kami bekerja..........kalau kemudahan pass untuk dependent tiada.............sudah pasti semua orang .banyak yang ilegal.............kami mau bayar pass.....tapi tlg kasih kemudahan itu......

    ReplyDelete