Friday, 8 July 2011

JANGAN HANTAR ‘PINNICHIO’ KE SABAH


Oleh : MUTALIB M.D

“TOLONG jangan hantar pembohong atau ‘Pinnichio’ untuk ‘menjual ubat’ di Sabah kerana yang kena tempelak ialah kami, wakil rakyat,” rayu Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar menasihati Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan supaya tidak membuat janji kosong di Sabah, jika tidak mahu kehilangan Fixed-Deposit di Sabah.

Menurut Raime, tindakan Timbalan Menteri Persekutuan yang tidak mempunyai potfolio dan locus-standi untuk mengumumkan atau meluluskan sesuatu projek, membuatkan rakyat Sabah merasa tertipu oleh janji palsu yang mereka ukir.

“Mereka ini masuk seperti ‘penyamun’ dan keluar seperti ‘pencuri’, tidak langsung memaklumkan kepada Ahli Parlimen atau Adun di kawasan berkenaan; sebaliknya meninggalkan liabiliti kepada pemimpin tempatan kerana rakyat terus menagih janji daripada Kerajaan BN,” kata Raime yang kesal dengan keceluparan mulut Timbalan Menteri, seperti Puad Zarkashi.

Tegas Raime, rakyat Sabah jujur menyokong Barisan Nasional sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1994, namun sikap angkuh dan sombong Pemimpin Persekutuan yang menabur janji palsu di Sabah menyebabkan rakyat Sabah mula sangsi kepada BN.

“Sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, rakyat Sabah mengharapkan Puad bertanggung jawab dan menjaga akauntabiliti Kementerian Pelajaran terutama ‘Ketepatan’ dan ‘Kejujuran’ melaksanakan janji,” tegas Raime yang menyatakan sikap ‘tarik tali’ Pemimpin Persekutuan yang datang ke Sabah, menyebabkan Agenda Pendidikan Sabah tergelincir semakin jauh daripada Arus Perdana Pendidikan Negara.

‘Punctuality’ (ketepatan masa) kata Raime, amat penting dalam sektor pendidikan, sekalipun jumlah murid sekolah tersebut hanya 50 atau 100 orang; tetapi tugas Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan prasarana pendidikan tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

Kata Raime, adalah tidak wajar jika sekolah yang dijanjikan sejak 1981 oleh Pemimpin Persekutuan terus diperbaharui tanpa rasa malu setiap kali pilihanraya atau ketika mereka mengadakan lawatan mengejut ke daerah tertentu.

Janji paling teruk kata Raime ialah janji Puad untuk memenggal lehernya sendiri jika SMK Nabalu tidak dibina pada 2010.

“Kini sudah 2011, tetapi kenapa Puad belum penggal leher beliau? Kenapa beliau tidak pandai rasa malu dan terus menabur janji di sekolah lain? Di mana saja dia pergi, dia terus menabur janji dan meyakinkan rakyat tanpa berbuat apa-apa. Siapa yang tanggung beban? Puad boleh balik Semenanjung dan datang lagi buat janji baru, tapi kami sebagai Wakil Rakyat ditagih setiap hari,” kata Raime dengan nada kesal.

Kata Raime, Puad disifatkan rakyat Sabah sebagai Timbalan Menteri yang makan gaji buta kerana tidak mengetahui akauntabiliti Kerajaan, sama seperti pemimpin pembangkang, yang hanya tahu cakap kosong dan tidak segan berbohong.

Bukan sahaja rakyat Sabah, kata Raime, malah rakyat Sarawak juga tertipu oleh ‘Pinnichio’ daripada Batu Pahat ini kerana menjanjikan bekalan elektrik 24 jam di semua sekolah di Sarawak sejak 2008; tetapi sehingga kini semua sekolah luar bandar di Sarawak masih bergelap pada waktu malam atau hanya menerima antara lima hingga 10 jam bekalan elektrik.

“Apa bezanya Puad dengan Ibrahim Ali? Kalau bukan jadi calon UMNO, jangan mimpi boleh jadi Timbalan Menteri. Pemimpin dari Johor ini hanya pandai cakap tetapi tidak pandai buat kerja, dua kali lima dengan Khairy Jamaluddin,” kata Raime yang agak kesal kerana semakin ramai pemimpin UMNO menggunakan kedudukan mereka untuk memperdaya rakyat Sabah.

Menyentuh isu kuasa Autonomi Tabung Prasarana Pendidikan yang ditimbulkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Raime berkata beliau akan mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat agar Menteri Pelajaran menurunkan kuasa kepada Ketua Menteri Sabah atau Menteri Kabinet Sabah yang menjaga potfolio pelajaran supaya hala tuju sektor pendidikan Sabah lebih fokus dan mencapai sasaran Dasar Pendidikan Nasional.

“Kita harap 25 Ahli Parlimen daripada Sabah dan rakan kita daripada Semenanjung akan menyokong usul penting ini kerana Sabah telah terketinggalan 35 tahun di belakang Semenanjung dalam sektor pelajaran dan prasrana pendidikan,” ujar Raime yang telah menjalankan gerakerja bagi memastikan usul berkenaan diterima pada Persidangan Dewan Rakyat, Oktober nanti.

No comments:

Post a Comment