Sunday, 10 July 2011

SPR MASIH GUNA KENCING CUCI NAJIS?



Oleh : MUTALIB M.D

PENAFIAN dan penjelasan yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung kesahihan Daftar Pemilih menunjukkan ‘Kepandiran’ beliau berhubung ‘validiti’ dan ‘kredibiliti’ sebuah Suruhanjaya Pilihanraya di sebuah negara ‘Merdeka’ yang mengamalkan Demokrasi Berperlembagaan.

Pada 1999, saya menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Pengundi Untuk Disewa’ (Voters For Hire) dalam bentuk majalah setebal 132 muka surat termasuk kulit, tetapi agak malang kerana Kerajaan Malaysia yang ketika itu dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad (Tun) mengharamkan buku tersebut untuk satu tempoh yang agak lama.

Saya dimaklumkan bahawa pengharaman tersebut bukan kerana isi kandungannya, tetapi kerana kulit luarnya yang memetik kenyataan Dr Mahathir kepada Wartawan Australia, Bob Reece yang berbunyi;

“Why not call a spade a spade? Why not say bravely that the people of Malaysia are too immature for a workable democracy? Why not say that we need some form of the authoritarian rule? We are doing that anyway and it looks as if we are going to do that for a very time to come.... Authoritarian rule can at least produce a stable strong government....We must accept that there is not going to be a democracy in Malaysia; there never was and there never will be."

Memandangkan saya tidak mahu menukar kulit buku berkenaan, maka buku tersebut tidak dapat dijual dan pihak SB menggertak penjual buku agar jangan menjual buku berkenaan, sedangkan harganya mampu dibeli semua rakyat Sabah kerana berharga RM10 senaskhah.

Walaupun buku tersebut mendedahkan pelbagai ‘Dosa’ dan ‘Modus Operandi’ SPR termasuklah senarai terperinci pengundi hantu dan seangkatan dengannya, namun hanya selepas pilihanraya baru buku berkenaan dapat dijual; setelah rayuan saya diterima dengan kerjasama media Australia yang memberikan saya salinan rakaman wawancara Bob Reece dengan Dr Mahathir.

Dalam buku ‘IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah’ yang diterbitkan pada 1999, saya mendedahkan ribuan ahli UMNO yang menjadi pemilih berdaftar berkongsi kad pengenalan dengan pemilih lain dan ribuan warga asing menjadi ahli UMNO dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan projek.

Setelah saya memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Kamil Awang bersama beberapa saksi lain, beliau memutuskan Pilihanraya DUN Likas tidak sah dan batal kerana penglibatan pengundi hantu dan warga asing yang menjadi pemilih berdaftar.

Selepas buku ‘Pengundi Untuk Disewa’ dibenarkan dijual kepada umum, SPR telah mengambil tindakan drastik membersih daftar pemilih kerana sejak 2004, tidak lagi kedengaran nama pemilih bertindih; namun kembali lagi bergema pada 2008-2010 dalam siri pilihanraya kecil dan Pilihanraya Umum DUN Sarawak.

Dalam buku ‘Pengundi Untuk Disewa’, saya mengesan dan mendedahkan ratusan ribu pemilih berkongsi kad pengenalan yang sama; puluhan ribu berkongsi dengan dua pemilih lain serta ratusan yang berkongsi dengan tiga pemilih berasingan.

Sebagai contoh, seorang pemilih, TAN AH JEE (Segamat ,Johor) yang menggunakan nombor kad pengenalan 0001384 turut berkongsi nombor kad pengenalan yang sama dengan WASIL B ASDI (Tg. Puteri, Johor); IBRAHIM BIN MOD TAHIR (Batu Pahat, Johor) dan PERMIAN B AWIN (Temerloh, Pahang).

Begitu juga dengan seorang pemilih RAZALI B MOHD NOR (Hulu Langat, Selangor) yang berkongsi kad pengenalan 0003397 dengan LATCHUMANAN KABUR (Sg. Benut, Johor) dan LONG B PANDAK (Sg. Siput, Perak).

Namun semakan saya mendapati modus operandi yang serupa diwujudkan kembali dalam ‘Daftar Pemilih’ terkini kerana SPR meninggalkan ‘Najis’ ketika melakukan kerja kotor mendaftar nama ‘Pengundi Hantu’; mungkin dengan kerjasama parti politik atau dengan subahat Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang mencipta nombor MyKad yang baru, tetapi masih menggunakan nombor kad pengenalan asal yang sama.

Semakan rambang mendapati, lebih 20,000 pemilih di Perak berkongsi kad pengenalan dengan orang lain atau mempunyai hak mengundi dua kali kerana tersenarai dua kali menggunakan MyKad berlainan, sama seperti modus operadi di Sabah pada 1994.

Sebagai contoh, KAMARUN ZAMAN BIN AHMAD SHAH yang menggunakan MyKad 490925086219/1358075 (Pusat Mengundi 056/05/14/004) disenaraikan sekali lagi dengan menggunakan Mykad bernombor 490825086289/1358075 (Pusat Mengundi 069/39/01/006)

Begitu juga dengan OSMAN BIN ARSHAD yang menggunakan Mykad 490112086027/ 4172570 (Pusat Mnegundi 076/56/10/011) disenaraikan sekali lagi dengan menggunakan Mykad bernombor 490117085939/4172570 (Pusat Mengundi 076/56/10/011)

PARMAISVAERY A/P SUPPIAH yang menggunakan MyKad 550118086126/4749245 merupakan pemilih berdaftar bagi 065/28/06/005; tetapi turut mempunyai hak untuk mengundi sekali lagi dengan Mykad bernombor 550108086026/4749245 di lokasi 070/41/02/010.

Rakannya, PAPATHY A/P CHANDRAN yang menggunakan MyKad 591023025794/ 6840801 merupakan pemilih berdaftar di lokasi 066/31/01/009 tetapi SPR mendaftarkan beliau sekali lagi dengan menggunakan MyKad 591023025014/6840801 bagi lokasi 074/52/05/012.

Contoh lain boleh disemak dalam Daftar Pemilih yang sudah diwartakan atau disemak melalui Laman Web SPR.

Persoalannya, apakah motif SPR mengotorkan daftar pemilih sedangkan SPR bercadang mahu menggunakan Sistem Biometrik? Dapatkah Sistem Biometrik JPN mengklonkan geometri biometrik pemilih berdaftar, kerana hanya Tuhan yang tahu mencipta cap jari yang berlainan identiti untuk lebih 6 billion penduduk dunia?

Mungkin Pengerusi SPR buta IT atau belum bertamaddun untuk membersihkan daftar pemilih yang dibuat secara terang-terangan dalam bentuk penipuan ketara dan pengklonan MyKad dan gagal memasukkan ‘Mayat Hidup’ ke dalam keranda sedangkan jenazah pemilih berdaftar sudah lama bersemadi di pusara!

Apakah lebih bermaruah jika SPR bekerjasama dengan Guinness Book of World Record untuk mengiktiraf Malaysia mempunyai lebih 25,000 lelaki dan wanita tertua di dunia kerana ada yang berusia antara 115 hingga 166 tahun sedangkan manusia tertua di dunia hanya berusia 114 tahun?

Saya mohon jasa baik pembaca Sabahkini.net untuk memberikan saranan dan resolusi agar dapat dikemukakan kepada SPR bagaimana mahu memastikan daftar pemilih yang akan diwartakan untuk pilihanraya umum akan datang, bukan sahaja berbau bersih, kelihatan bersih malah senang dibersihkan SERTA MERTA!

No comments:

Post a Comment