Sunday, 11 November 2012

476 USUL AKAN DIBAHAS PAU 2012





KUALA LUMPUR : Sebanyak 476 usul daripada 191 bahagian Umno dipersetujui untuk dibahaskan pada perhimpunan agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 27 Nov hingga 1 Disember ini. 

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya menerima 521 usul dan 45 daripadanya diterima tanpa bahas manakala tiada usul ditolak.

“Usul-usul yang akan dibentangkan kali ini dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu usul ekonomi yang akan diselaras Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, usul agama oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan usul pendidikan serta sosial dikendali oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya pada sidang media, di sini kelmarin.

Beliau berkata perjalanan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diselaraskan dengan lebih terperinci dan mesyuarat jawatankuasa susulan akan digerakkan bagi menambah lebih ramai jawatankuasa untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan lancar.

Hishammuddin berkata perhimpunan agung Umno 2012 iaitu yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 itu dianggap sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera parti.

Katanya kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tiga tahun lepas telah membawa banyak transformasi yang menunjukkan parti tidak hanya bergerak statik malah merupakan perkara terpenting yang perlu diterjemahkan para perwakilan pada perhimpunan kelak. 

“Kita harus sentiasa mengingatkan mereka (perwakilan) supaya menjadikan isu transformasi serta perubahan sebagai agenda utama semasa perbahasan. Saya bimbang jika perbahasan hanya berkisar kepada isu-isu dalaman yang tidak akan menggambarkan kepimpinan perjalanan parti sejak PRU ke-12,” katanya.

Hishammuddin berkata perhimpunan itu dilihat sebagai cara terbaik untuk mendekatkan parti kepada golongan sasar secara lebih menyeluruh dan persediaan dilakukan lebih awal bagi memastikan perwakilan dapat menyampaikan mesej kerajaan dengan jelas. (Bernama)

No comments:

Post a Comment