Tuesday, 13 November 2012

ANTARA SAMSENG, SAM MANAN DAN MAGDALENA?





Saudara Pengarang,

SAYA merujuk kenyataan Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan yang tersiar dalam Daily Express, 7 November 2012, yang menggelar mereka yang menentang dan mahu menukar kerajaan sekarang melalui proses demokrasi sebagai 'HOOLIGANS'.

'Hooligans' mengikut terjemahan kamus Oxford Fajar membawa makna 'SAMSENG'.

Selaku pemimpin politik, saya amat kesal di atas kenyataan berbaur politik dari seorang penjawat awam seperti Datuk Sam Mannan. Sewajarnya beliau hanya bercakap soal yang melingkari isu-isu perhutanan seperti bagaimana mahu melestari dan memulihara hutan Sabah yang terdedah kepada banyaknya pembalakan haram saban hari.

Kegiatan mencuri hasil balak ini pula semacam mendapat perlindungan daripada pihak berwajib yang diamanahkan bagi menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermaruah dan beretika ini.

Tetapi Datuk Sam Mannan lebih memilih jalan mencampuri urusan politik kerana dia tahu bahawa dia ada saham tertentu dengan sikap 'angkat kakinya'.

Saya mencabar Datuk Sam Mannan supaya terjun ke kancah politik dan tinggalkan kerjaya dalam perkhidmatan awam jika berterusan mencampuri urusan politik; yang menjadi kewajiban kami selaku jurucakap massa yang tidak puas hati dengan kezaliman yang dilakukan oleh pentadbiran sekarang, termasuk ketidakadilan Jabatan Perhutanan yang diketuai oleh Datuk Sam Mannan sendiri.

Kalau mereka yang menentang dan mahu menukar kerajaan sekarang digelar 'Hooligans' oleh Datuk Sam Mannan, maka apakah Datuk Sam Mannan wajar digelar sebagai 'Crooks' dan 'Criminals' atau 'SAMDOL' (watak samseng dalam Filem P.Ramlee) di atas pengakuan beliau yang telah membakar rumah-rumah milik pribumi yang didirikan di atas bumi Sabah yang diklasifikasikan sebagai Hutan Simpan?

Apakah kerja membakar rumah-rumah milik pribumi itu bukan satu perbuatan jenayah? Kenapa Datuk Sam boleh menutup mata di atas bantahan rakyat di kawasan Hutan Simpan dalam daerah Keningau, Pensiangan; sedangkan di situ terdapatnya pencerobohan dan aktiviti pembalakan haram sehingga menjejaskan alam sekitar?

Aktiviti haram ini sudah banyak kali didedahkan oleh media arus perdana Sabah. Apakah tidak layak Datuk Sam juga digelar 'SAMSENG' atau 'SAMDOL' kerana membiarkan 'Crooks' merompak khazanah bumi Sabah tanpa sebarang tindakan menghalangnya?

Seperkara lagi yang saya ingin tanya, sebagai mewakili luahan rasa tidak puas hati warga Jabatan Perhutanan Sabah, apa signifikannya penukaran nama dari Gunung Rara kepada Gunung Magdalena?

Sumber dari dalam Jabatan Perhutanan sendiri memberitahu saya bahawa nama Magdalena itu ada kaitannya dengan seorang gadis yang bertugas di Jabatan Perhutanan. Apa pula hubungan istimewa gadis bernama Magdalena ini dengan Datuk Sam sehingga namanya diabadikan sebagai Gunung Magdalena?

Salam Hormat,

HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
Yang DiPertua PAS Batu Sapi

No comments:

Post a Comment