KETUA Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim hari ini dicabar bertanding menentang Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak di kawasan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-13.
"Saya cabar Anwar
menentang Najib di Pekan, kita nak tengok setakat mana kemampuan dan keberanian
beliau membohongi rakyat Pahang dengan pelbagai isu fitnah," kata Ketua
Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Ketua umum pakatan
pembangkang itu diuar-uar menjadi perdana menteri sekiranya pembangkang menang,
semalam mencabar Najib menentang penyandang kerusi Parlimen Marang Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.
Syed Ali berkata sepatutnya
Anwar sendiri yang mencabar Najib jika beliau benar-benar ‘Anak Jantan' dan
bukannya mencadangkan pemimpin pembangkang lain.
"Jika Anwar anak jantan
dan bukannya pengecut, saya cabar beliau bertanding sama ada di kerusi Parlimen
Pekan atau pun di Marang (Terengganu)," katanya seperti dipetik laman web
Umno Cheras.
Bagaimanapun, Syed Ali
berkata beliau percaya Anwar tidak berani bertanding di Pekan mahupun di Marang
kerana beliau tahu pasti ditolak pengundi di kawasan berkenaan.
"Saya yakin pengundi di
Pekan dan Marang, sebahagian besarnya pengundi Melayu, belum bersedia menerima
pemimpin politik seperti Anwar yang menyokong gerakan golongan lesbian, gay,
biseksual dan transgender (LGBT)," ujarnya.
Syed Ali mendakwa cabaran
Anwar supaya Najib, yang menyandang kerusi Pekan, bertanding di Marang adalah
perancangan sulitnya untuk ‘menghapuskan kerjaya politik Hadi.
Beliau berkata Hadi
merupakan penghalang besar kepada niat Anwar hendak menjadi Perdana Menteri.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat dari jawatannya dan Umno pada
September 1998 dan pernah dipenjarakan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, cita-cita politik
Anwar disokong kuat sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP yang mencurigai
keikhlasan PAS.
Syed Ali juga berkata beliau
percaya Hadi tidak akan meninggalkan Marang yang paling selamat baginya
walaupun sebelum ini membuat kenyataan bersedia bertanding di Pekan sekiranya
itu adalah keputusan parti. (Bernama)
No comments:
Post a Comment