Oleh : DATUK YAHYA LAMPONG
KUALA LUMPUR : Ramai orang
bertanya saya, apakah bentuk kepimpinan Barisan Nasional (BN)? Ini kerana,
sistem BN hanya satu di dunia dan sangat berbeza dengan sistem politik atau
kepimpinan negara demokrasi.
Raja berkuasa mutlak,
kerajaan diktator, kerajaan komunis atau kerajaan totalitarian (berkuasa secara
total atau berkuasa mutlak) adalah setaraf dengan kepimpinan BN sekarang.
Sistem ini telah menyebabkan BN kekal berkuasa sejak dahulu dan akan berterusan
jika tidak diubah.
Nasib baik rakyat sekarang
ada pilihan selain BN iaitu gabungan antara PKR-PAS-DAP untuk mengganti Barisan
Nasional bagi memerintah negara.
Apa ciri-ciri kepimpinan BN?
Bagi saya, antara cirinya adalah:-
Ciri pertama: Autokrasi
Sistem politik Barisan
Nasional atau BN berpaksikan kepimpinan autokrasi. Presiden UMNO dan Pengerusi
Barisan Nasional ialah Perdana Menteri. BN bertanding dalam pilihan raya umum.
Anggota komponen seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, PBB, SUPP, SPDP, PRS,
PBS, UPKO, PBRS dan LDP tidak bertanding dalam pilihan raya umum. Justeru itu,
anggota komponen tidak mempunyai kekuatan politik, semuanya ada pada BN.
Sungguh pun UMNO tidak
bertanding dalam pilihan raya umum, tetapi Presiden UMNO ialah Pengerusi BN.
Presiden UMNO dan Pengerusi BN ialah Perdana Menteri.
Justeru itu, Presiden UMNO,
Pengerusi BN dan Perdana Menteri berkuasa mutlak kerana BN bertanding dalam
pilihan raya umum. Presiden-presiden anggota komponen tidak mempunyai kekuatan
politik kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya umum atas nama parti
masing-masing.
Apabila Perdana Menteri
berkuasa mutlak, hatta Majlis Tertinggi UMNO tidak mempunyai kekuatan politik
kerana UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya umum. Majlis Tertinggi
parti-parti komponen juga tidak mempunyai kekuatan politik kerana parti-parti
komponen tidak bertanding dalam pilihan raya umum.
Calon-calon dan kawasan-kawasan
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri atau DUN ditentukan oleh Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkuasa mutlak (prerogative) untuk melantik anggota kabinet
dan portfolio menteri-menteri. Dasar-dasar kerajaan ditentukan oleh Perdana
Menteri.
Justeru itulah, bagi saya BN
memperalatkan semua anggota komponennya dan mereka menjadi kuda tunggangan
UMNO.
Ciri kedua : Majoriti Dua
Pertiga
BN ialah kerajaan majoriti
dua pertiga (2/3). UMNO ialah pertubuhan politik bangsa Melayu. Justeru itu,
bangsa Melayu bersatu menyokong UMNO dan mengundi BN dalam pilihan raya umum.
Apabila bangsa Melayu
bersatu mengundi BN, maka BN berupaya membentuk kerajaan majoriti mudah (simple
majority). Apabila bangsa Melayu bersatu menyokong UMNO, maka pribumi dari
Sabah dan Sarawak juga bersatu mengundi BN dalam pilihan raya umum.
Bangsa Cina dan India ialah
pengundi minoriti. Apabila bangsa Melayu, Pribumi Sabah dan Sarawak mengundi BN
dalam pilihan raya umum, maka bangsa Cina dan India tidak ada pilihan selain
daripada menyokong dan mengundi BN dalam pilihan raya umum atau berada dalam
pembangkang.
Apabila bangsa Melayu,
Pribumi daripada Sabah dan Sarawak, bangsa Cina dan India bersatu mengundi BN
dalam pilihan raya umum, maka kerajaan BN ialah kerajaan majoriti dua pertiga
(2/3).
Kerajaan majoriti dua
pertiga tidak memberi peluang kepada pembangkang mengganti kerajaan BN. Justeru
itu, Kerajaan BN dicipta untuk memerintah selamanya. Kerajaan yang tidak
tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change) ialah kerajaan satu-sistem.
Bagi saya, kerajaan
demokrasi ialah kerajaan satu-parti atau kerajaan campuran. Contoh kerajaan
satu-parti ialah kerajaan PAS di negeri Kelantan atau kerajaan Berjaya atau PBS di Sabah satu ketika dahulu. Contoh
kerajaan campuran ialah kerajaan PKR-PAS-DAP di negeri Selangor.
Kerajaan satu-sistem bukan
kerajaan satu-parti atau kerajaan campuran. Kerajaan satu-sistem menguasai
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Justeru itu, Badan Eksekutif dan Badan
Kehakiman (Judiciary) tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri. Perlantikan ketua
Polis,Tentera atau Ketua Hakim Negara ditentukan oleh Perdana Menteri.
Apabila Perdana Menteri
berkuasa mutlak, maka Perdana Menteri menguasai semua kementerian-kementerian
dan jabatan-jabatan kerajaan termasuk Kementerian Kewangan. Justeru itu,
Perdana Menteri berkuasa mutlak menganugerah projek-projek secara terus (direct
award), rundingan (negotiated), terpilih (selected) atau projek-projek
penswastaan (privatisition).
Kerajaan BN menguasai media
massa, media elektronik atau badan-badan NGO’s terletak di bawah kuasa dan
budibicara Perdana Menteri.
ISA juga terletak di bawah
kuasa Perdana Menteri. Perdana Menteri berkuasa mutlak mengambil atau tidak
tindakan terhadap menteri-menteri atau ketua-ketua menteri dan menteri-menteri
besar yang rasuah.
Justeru itu, kerajaan ini
tidak tertakluk kepada prinsip pemisahan kuasa antara badan Legislatif,
Eksekutif dan Kehakiman.
Kerajaan ini juga tidak
tertakluk kepada prinsip ketelusan, imbangan dan sekatan, amanah dan pertanggungjawaban
(not subject to checks and balances, integrity and accountability).
Kerajaan BN juga mengamalkan
falsafah politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara (The ends justify the
means) untuk mendapat kuasa atau mengekalkan kuasa.
Justeru itu, kerajaan BN
berkuasa mutlak. Pepatah Inggeris menyatakan, “Power corrupts. Absolute power,
corrupts absolutely”. Kuasa mengakibatkan rasuah. Kuasa mutlak mengakibatkan
rasuah mutlak. Rasuah mutlak mengakibatkan ketagih hingga ketahap
‘kleptomania’.
Ciri Ketiga : Sinonim Dengan
Komunis
Adalah terbukti bahawa
sistem politik BN ialah sama seperti sistem politik komunis. Sistem politik
komunis berpaksikan ahli-ahli parti kerajaan komunis untuk memenangi pilihan
raya umum. Majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli parti kerajaan
komunis itu. Justeru itu, apabila pilihan raya umum diadakan kerajaan komunis
tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change).
Sistem politik BN ialah sama
seperti sistem politik kerajaan komunis. Majoriti pengundi dalam negara ialah
ahli-ahli BN.
Ciri keempat: Pecah dan
Perintah
BN memecahbelah bangsa
Melayu dan umat Islam kepada ahli dan bukan ahli, bangsa Cina kepada ahli dan
bukan ahli, bangsa India kepada ahli dan bukan ahli, Pribumi Sabah dan Sarawak
kepada ahli dan bukan ahli. Justeru itu, sistem politik BN memecahbelah rakyat
Malaysia kepada ahli dan bukan ahli.
Menurut kenyataan Setiausaha
Agung BN Adnan Mansor, dalam akhbar, The New Straits Times, pada 9 September
2010, jumlah ahli-ahli BN ialah 7 juta orang.
Dalam pilihan raya umum
tahun 2008, jumlah pengundi dalam negara ialah 10,922,139 (SPR). Adalah
terbukti bahawa majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli BN.
Justeru itu, sistem politik
kerajaan BN ialah sama seperti sistem politik kerajaan komunis. Kerajaan
komunis tidak tertakluk kepada perubahan kerana majoriti pengundi dalam negara
ialah ahli-ahli BN.
Apabila ahli-ahli BN
mengundi BN setiap kali pilihan raya umum diadakan, maka kerajaan BN tidak
tertakluk kepada perubahan selamanya (not subject to regime change forever).
Apabila kerajaan tidak
tertakluk kepada perubahan, maka nasib rakyat Malaysia ialah sama seperti
rakyat negara komunis atau rakyat negara Brunei Darussalam. Kerajaan negara
Brunei Darussalam juga tidak tertakluk kepada perubahan selamanya.
Rakyat Malaysia bernasib
baik apabila Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat
kenyataan pada 28 Mei 2010, dalam akhbar The New Straits Times, bahawa
ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484. Apabila ahli-ahli BN ialah 7 juta, maka
ahli-ahli anggota komponen ialah 3,840,516.
Daripada kenyataan Presiden
UMNO dan Setiausaha Agung BN, ahli-ahli anggota komponen sudah mengetahui
bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis untuk memenangi pilihan raya umum.
Presiden UMNO dan Perdana
Menteri juga mengamalkan kepimpinan autokrasi, berkuasa mutlak, rasuah mutlak,
tidak tertakluk kepada perubahan dan menjadikan rakyat Malaysia seperti hamba,
maka ahli-ahli anggota komponen berjumlah 3,840,516 sudah tentu tidak sanggup
diperalatkan untuk mengamal sistem politik komunis.
Tambahan pula, ahli-ahli
anggota komponen mempunyai pilihan untuk mengundi Pakatan Rakyat bagi menjadi
pemerintah baru negara.
Gabungan atau campuran
antara PKR, PAS dan DAP tidak berpaksikan sistem politik BN. Setiap parti PKR,
PAS dan DAP bertanding dalam pilihan raya umum. Justeru itu, PKR, PAS dan DAP
masing-masing mempunyai kekuatan politik mereka tersendiri. Tidak ada kuda
tunggangan dalam gabungan campuran sebegini.
Gabungan atau campuran tidak
berpaksikan undi ahli-ahli untuk memenangi pilihan raya umum. Majoriti pengundi
dalam negara ialah rakyat. PKR, PAS dan DAP berpaksikan undi rakyat. Justeru
itu, PKR, PAS dan DAP berpaksikan sistem politik demokrasi.
Sistem politik demokrasi
memberi hak dan kebebasan untuk memilih atau menukar kerajaan dalam pilihan
raya umum. Justeru itu, kerajaan rakyat tertakluk kepada perubahan (subject to
regime change). Tidak ada kerajaan yang
maksum (perfect) di dunia.
Justeru itu, menjelang
pilihan raya umum ke 13 akan datang, rakyat Malaysia bebas untuk mengundi
kepimpinan autokrasi, berkuasa mutlak, resuah mutlak, kerajaan komunis, tidak
tertakluk kepada perubahan dan untuk menjadi hamba kepada Perdana Menteri iaitu
kerajaan BN selamanya atau memilih pihak lain.
Ahli-ahli anggota komponen
BN berjumlah 3,840,516 juga boleh untuk tidak diperalatkan oleh UMNO atau jadi
kuda tunggangan UMNO untuk mengamal
sistem politik komunis atau sebaliknya.
Bagi saya, hanya kroni-kroni
Perdana Menteri (Presiden-Presiden anggota komponen) dan ahli-ahli UMNO
berjumlah 3,159,484 akan mengundi BN.
Jika begitu, sistem politik
BN sudah tidak releven apabila ahli-ahli anggota komponen menolak sistem
politik BN dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Dalam pilihan raya umum
tahun 2008, rakyat Malaysia di Semenanjung sudah membuat keputusan untuk
menolak kerajaan BN kerana sudah terlalu lama dan terlalu rasuah.
Tanpa sokongan rakyat Sabah
dan Sarawak, BN tentu sudah kehilangan kuasa. Dalam pada itupun, BN hanya berupaya mengekalkan kuasa dengan
majoriti mudah saja. Justeru itu, bagi saya, sistem politik BN sudah tidak
releven.
Setelah rakyat Malaysia
keseluruhannya mengetahui (melalui kenyataan Presiden UMNO dan Setiausaha
Agung) bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis, maka lebih banyak rakyat
di Semenanjung tidak akan mengundi BN dalam pilihan raya umum ke 13 berbanding
dengan pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2008 lalu.
Saya juga yakin, rakyat
Sabah dan Sarawak juga tidak akan mengundi BN dalam pilihan raya umum ke 13
akan datang setelah mengetahui bahawa kerajaan BN ialah sama seperti kerajaan
komunis.
Justeru itu, bagi saya dalam
pilihan raya umum ke 13 akan datang, BN akan kehilangan kuasa. Majoriti bangsa
Melayu, Cina, India, Pribumi Sabah dan Sarawak akan menolak sistem politik
kerajaan BN kerana sistem politik BN sama seperti sistem politik komunis.
Rumusan
Presiden Korea Selatan, Lee
Myung-bak menyatakan, “Prosperity is no
substitute for demokrasi”. Kemakmuran negara bukan pengganti demokrasi.
Demikian penjelasan beliau apabila diminta memberi komen tentang sistem politik
demokrasi berbanding dengan sistem politik komunis dalam lawatan beliau ke
negara Myanmar dalam bulan Mac 2012 lalu.
Ekonomi negara China ialah
kedua terbesar di dunia dan sudah menghantar angkasawan ke angkasa lepas,
tetapi negara China tetap mengamalkan sistem politik komunis. Negara Russia
mengadakan pilihan raya umum, tetapi pilihan raya umum dimanipulasi untuk
memihak kepada kerajaan komunis.
Kerajaan diktator Hosni
Mubarak mengadakan pilihan raya umum. Setiap kali pilihan raya umum diadakan
NDP, iaitu parti Hosni Mubarak memenangi antara 80 peratus atau 90 peratus
undi. Sebabnya, pengiraan undi diadakan dalam Kementerian Dalam Negeri. Peti
undi yang kalah diganti dengan peti undi yang sudah berisi dan menang.
Rakyat benci kepada kerajaan
Hosni Mubarak, tetapi setiap kali pilihan raya umum diadakan, NDP mendapat undi
luar biasa. Akhirnya, revolusi Arab Spring dilancarkan untuk mengguling
kerajaan Hosni Mubarak.
Adalah diingatkan bahawa
kerajaan komunis, diktator atau raja berkuasa mutlak mengamalkan falsafah
politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Semua cara halal atau tidak
digunakan untuk mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa termasuk mengenepikan
perintah Allah, menipu, membunuh, berlaku zalim dan ketepikan hak asasi dan
kebebasan rakyat.
Akhir sekali, BN berpaksikan
undi ahli-ahli BN untuk memenangi pilihan raya umum. Sewajarnya BN dijadikan
pertubuhan politik agar individu berhak menjadi ahli. Sebaliknya ahli-ahli BN
ialah ahli-ahli anggota komponen. Tetapi dalam pilihan raya umum, ahli-ahli
anggota komponen diperintah untuk mengundi BN. Justeru itu, ahli-ahli anggota
komponen hanya diperalatkan agar Perdana Menteri BN berkuasa mutlak dan
mengamal rasuah mutlak.
Perkara ini sudah lama dipersoalkan
oleh anggota BN tetapi tidak diendahkan. Tetapi anggota komponen tidak terdaya
membuat tindakan. Pilihan ialah menyokong sistem politik BN atau berada dalam
pembangkang.
Tetapi, keadaan sudah
berubah. Bangsa Melayu, Cina, India, Pribumi daripada Sabah dan Sarawak sudah
mempunyai pilihan mengundi gabungan dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya
umum untuk memerintah dan biarkan BN jadi pembangkang kerana BN mengamalkan
sistem politik komunis, berkuasa mutlak dan mengamalkan rasuah mutlak.
(NOTA : Datuk Yahya Lampong
adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar di era Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir. Ketika pembentukan DEB dan selepas itu pembentukan SEDC bagi
semua negeri, penulis dilantik menjadi Pengurus Besar Sabah SEDC yang pertama. Beliau
telah mengiytiharkan keluar Umno dan menyertai PKR.)
No comments:
Post a Comment