ISU tiga anggota polis
Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Pulau Pinang
baru-baru ini menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi
berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan,
Utara di Jakarta, kelmarin.
Dalam demonstrasi pada pukul
1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi
Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari
republik itu selain bertindak membakar bendera Malaysia bagi menunjukkan
kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita berusia 25 tahun itu.
Demonstrasi itu diadakan
kira-kira 100 meter dari Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu kerana pihak
polis Indonesia telah menutup jalan di hadapan kediaman itu dan menghalang
kumpulan penunjuk perasaan daripada beraksi di hadapan kediaman itu.
Kumpulan penunjuk perasaan
itu turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas
berhubung kejadian itu dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari
republik itu.
Mereka menyalahkan Yudhoyono
yang didakwa gagal melindungi warganegara Indonesia di Malaysia dan meminta Presiden
Indonesia itu mengundurkan diri jika beliau gagal mengusir Duta Besar Malaysia.
Dalam demonstasi selama 50
minit itu, beberapa peserta termasuk kanak-kanak dan wanita memegang kain
sepanduk berwarna merah yang antara antara lain bertulis 'Usir Duta Besar
Malaysia, Ganyang dan lawan Malaysia'.
Pasukan Polis Indonesia,
termasuk anggota dari unit pemusnah bom, mengawal ketat di kawasan sekitar
Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu sepanjang demonstrasi berlangsung.
Sejumlah besar anggota polis
Indonesia turut berkawal di luar bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jalan H.R.
Rasuna Said, Kuningan bagi mengawal keadaan jika berlaku demonstrasi di situ,
namun bas yang membawa kumpulan dari Bendera itu hanya melalui kawasan itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment