KOTA KINABALU : Ketua Polis
Negara Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman
awam di Sabah terkawal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan
pemantauan.
Katanya pada masa yang sama
beliau turut mengarahkan Polis Sabah mempertingkatkan kerjasama dengan pasukan
keselamatan dari negara jiran bagi mencegah jenayah termasuk penculikan.
“Kita mesti perkukuhkan
hubungan kita dan beri ingatan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu
bahawa kita sentiasa berjaga-jaga demi keselamatan rakyat,” katanya kepada
pemberita, di sini kelmarin.
Ismail yang sebelum itu
merasmikan Persidangan Ketua-ketua Agensi Polis Bantuan bersama Pegawai Kanan
PDRM ke-24, diminta mengulas mengenai kes penculikan membabitkan dua rakyat
tempatan di pantai timur Sabah pada Rabu lepas.
Beliau turut memberi jaminan
PDRM akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes itu bagi memastikan
kedua-dua rakyat Malaysia tersebut dapat diselamat dan dibawa pulang ke tanah
air.
“Polis memandang serius kes
ini dan (meminta) orang awam termasuk saksi tampil menyampaikan informasi bagi
membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang turut hadir, berkata polis Sabah akan
meningkatkan kerjasama dengan rakan sejawatan mereka dari negara jiran yang
dipercayai menjadi lokasi penculik.
“Kita sedang berusaha dan
ambil tindakan perlu. Kita sudah mengenal pasti lokasi (penculik), tetapi dia
tidak berada dalam kawasan negara dan kita bekerjasama dengan counterpart
(rakan sejawatan),” katanya.
Dalam kejadian antara 3.30
dan 4.30 petang itu, lima lelaki bersenjata api menculik seorang pengurus
ladang kelapa sawit dan penolongnya dari ladang yang terletak kira-kira dua
kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15,
kira-kira 50 km dari pekan Lahad Datu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment