Saudara Pengarang,
DENGAN segala hormatnya kami
merujuk kepada artikel bertajuk 'TM Malaysia Bagai Pelacur Tua?' dalam laman Sabahkini.net
bertarikh 16 November 2012 berkenaan perkhidmatan Internet jalur lebar di
Kampung Tanpa Wayar (KTW) di Kampung Tinangol, Kudat, Sabah.
Untuk makluman, KTW
diwujudkan sebagai salah satu inisiatif di bawah Inisiatif Jalur Lebar
Kebangsaan (NBI) yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) dengan kerjasama syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan
telekomunikasi di Malaysia termasuklah Telekom Malaysia Berhad (TM).
Inisiatif ini bertujuan
untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi asas buat masyarakat di desa atau
luar bandar sambil salah satu usaha merapatkan jurang digital. KTW turut
membolehkan penduduk di kawasan luar bandar menikmati perkhidmatan Internet
jalur lebar bagi mengecapi gaya hidup digital dan seterusnya dapat mencapai
hasrat Kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia rakyat yang celik ICT.
Bagaimanapun, selepas
siasatan yang terperinci, pihak TM ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan
Internet jalur lebar di KTW Kampung Tinangol bukanlah di bawah pengendalian dan
tanggungjawab pihak TM seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut,
sebaliknya perkhidmatan di situ disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan
telekomunikasi yang lain. Justeru, kenyataan pengadu tersebut adalah kurang
tepat.
Oleh itu, kami ingin memohon
kerjasama pihak tuan agar menyiarkan penjelasan ini untuk manfaat semua pembaca
laman Sabahkini.net bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Pihak TM juga ingin memohon
kerjasama daripada pengendali laman Sabahkini.net untuk mendapatkan kepastian
dan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak TM mengenai sebarang aduan dan
permasalahan sebelum mengeluarkan sebarang penulisan di laman blog tersebut.
Pihak TM sedia membantu
menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan
oleh TM.
TM amat menghargai segala
sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh laman blog Sabahkini.net dan kami
berharap hubungan baik antara kedua-dua pihak akan terus kekal.
Terima Kasih dan Salam
Hormat.
Yang Benar,
KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN
TM
dimana saya boleh buat aduan berkaitan KTW ini kerana di kampung kami juga menghadapi situasi yang sama seperti KTW kampung Tinangol,Kudat ?
ReplyDelete