Oleh : ROPIKAH AHMAD
KUALA LUMPUR : Pendedahan
berkaitan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan
menulis kepada Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr untuk meminta negara
terbabit membantu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia bukanlah sesuatu
yang mengejutkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa tindakan mencari pengaruh
luar bukanlah kali pertama dilakukan oleh penasihat PKR dalam usaha mendapatkan
kuasa politik di negara ini.
“Ini bukanlah sesuatu yang
luar biasa kerana Anwar telah pun acapkali bertindak sedemikian malah lebih
dari itu apabila sanggup memburuk-burukkan negara sendiri lantaran mahu
mengambil hati para pemimpin luar dan bersimpati kepadanya,” katanya kepada
UMNO-Online di sini.
Dilaporkan Anwar meminta
bantuan Australia dalam PRU akan datang atas dakwaan untuk memastikan ia bebas
daripada penipuan dan rasuah selain kononnya menemui bukti tentang penipuan
dalam pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi pilihan raya.
“Apa lagi yang Anwar belum
lakukan kerana sebelum ini dia bukan saja merendah-rendahkan kedudukan negara
sendiri tetapi turut menganggap sistem demokrasi dan perundangan di Malaysia
juga adalah lapuk dan ketinggalan,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan
Nasional (BN).
Awal tahun ini, media turut
melaporkan Anwar telah ke Turki dan menafikan Malaysia sebagai sebuah negara
demokrasi selain tidak ada satu pun media yang ada di negara ini bebas untuk
beroperasi serta mendakwa bahawa dia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri
dulu adalah kerana mengkritik kepimpinan Perdana Menteri ketika itu.
“Anwar lebih gemar meminta
bantuan dari negara luar negara kerana rakyat di negara ini sudah tahu siapa
dia yang sebenar.
“Tidak ada sesiapa yang mahu
mempercayainya lagi sebagaimana pelbagai janji yang ditaburkan bukan saja
sebelum dapat bentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang dibeberapa buah
negeri tetapi dah ada kuasa pun terus menipu,” katanya lagi.
Ujarnya, jika sebelum
mendapat kuasa mereka menjadikan manipulasi dan persepsi sebagai satu taktik
bagi memperlihatkan kononnya kerajaan sering melakukan kesilapan tetapi
malangnya kelakuan tersebut berterusan biarpun menjadi wakil rakyat dan
pemimpin.
“Mereka tidak ada modal
untuk tarik perhatian jadi mereka tuduh kerajaan BN khususnya UMNO sebagai
parti yang selalu salah tanpa mereka sedar bahawa mereka perlu berdepan dengan
kenyataan yang dimahukan oleh rakyat.”
Dalam temu bual dengan ABC
Radio semalam, Anwar turut mendakwa pembangkang dinafikan akses kepada media
arus perdana.
“Mereka buat macam-macam
tuduhan terhadap kerajaan termasuklah PRU kononnya tidak telus sedangkan jika
ia benar-benar berlaku adakah pakatan pembangkang akan mendapat peluang untuk
beroleh kemenangan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada PRU 2008
lalu?” soalnya.
Tambah beliau lagi, apabila
Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka di luar negara yang kemudiannya
disiarkan dalam media bercetak maka tuduhan juga dilemparkan kepada BN/UMNO.
“Macam mana BN/UMNO mahu
memanipulasi media asing yang menyiarkan kenyataan Anwar berkaitan sokongannya
terhadap Israel di dalam Wall Street Journal (WSJ) sedangkan mereka bukan
dikawal oleh BN sebagaimana tuduhan kepada media arus perdana yang kononnya
dikongkong dan tidak ada kebebasan bersuara,” bidasnya.
“Sebelum ini pun Anwar
pernah mempropagandakan Malaysia sebagai sebuah negara yang negatif dan tidak
selamat, dan kemudian mengeji pakaian batik Malaysia ketika berada di Indonesia
sedangkan ia tidak sewajarnya dipolitikkan,” tegasnya.
Sebelum itu, anak sulung
Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izza juga pernah memberikan
kenyataan palsu ketika temubual dengan akhbar Kompas di Indonesia, 4 Ogos lalu
kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam
selain mendakwa ia sebagai aset usang dan terpakai.
“Telah terbukti bahawa
pakatan pembangkang bukan saja sanggup memburukkan negara sendiri dan
melemparkan fitnah semata-mata untuk kepentingan politik tetapi juga gagal
menanamkan sikap patriotik dan nasionalisme dalam diri masing-masing.” (MediaUMNO).
No comments:
Post a Comment