Monday, 5 November 2012

NAJIB DI SIDANG KEMUNCAK ASEM





Oleh : JAMALUDDIN MUHAMMAD

VIENTIANE : Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Ahad untuk lawatan kerja tiga hari serta menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM).

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, pada 6.05 petang (Waktu Malaysia: 7.05 malam).

Mereka disambut oleh Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos Vilayvanh Phomkhay, Timbalan Menteri Luar Malaysia Senator A. Kohilan Pillay dan Duta Besar Malaysia ke Laos Datuk Than Tai Hing.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan merasmikan pembukaan cawangan pertama Maybank di negara ini di sini Isnin sebelum mengadakan rundingan bilateral dengan Perdana Menteri Pakistan Raja Pervaiz Ashraf di the National Convention Centre (NCC), di sini.

Kemudian, Najib bersama rakan sejawatannya dari Laos Thongsing Thammavong akan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi Induk antara kerajaan Laos dengan Giant Consolidated Ltd, sebuah syarikat Malaysia, di NCC.

Syarikat Malaysia itu akan membina Landasan Keretapi Standard Gauge Trek Berkembar menggunakan Elektrik bernilai US$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) dari Savannakhet ke Lao Bao, dekat sempadan Vietnam, meliputi trek sepanjang 220km bagi tempoh lima tahun.
Perdana Menteri juga dijadual melawat pondok yang dibina oleh pelabur Malaysia di projek hidro-elektrik dan zon ekonomi khas di sebuah hotel, di sini selepas itu.

Esok, Najib dan Rosmah akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Asem dan upacara Perluasan Anggota Asem di NCC, venue sidang kemuncak itu.

Upacara itu akan menyaksikan kemasukan tiga anggota baru Asem - Switzerland, Norway dan Bangladesh, menjadikan jumlah negara anggota kepada 51.

Perdana Menteri akan menyertai sesi pleno dan mengadakan rundingan bilateral berasingan dengan Presiden Perancis Francois Hollande dan Perdana Menteri Norway Jens Stoltenberg di NCC, di luar sidang kemuncak.

Najib dan Rosmah dijadual menghadiri Jamuan Malam dihos oleh Presiden Laos Choummaly Sayasone dan isteri Keosaychay Sayasone di sebuah hotel di sini sebelum menyelesaikan lawatan kerja hari kedua.

Pada hari terakhir lawatan, Najib akan menyertai sesi pleno ASEM sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan pada 5.35 petang (Waktu Malaysia: 6.35 petang). (Bernama)

No comments:

Post a Comment