PEMILIK haiwan kesayangan di
negara ini mungkin diwajibkan mengambil pasport bagi haiwan peliharaan
masing-masing pada masa akan datang. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Datuk Seri Noh Omar berkata langkah itu, antara lain bertujuan untuk memudahkan
pengumpulan data lengkap tentang seseekor haiwan, termasuk mengenai penyakit,
di samping memudahkan usaha mengesannya jika dilaporkan hilang.
"Kami akan bincang
perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan dan badan berkaitan sebelum Rang
Undang-undang Kebajikan Haiwan dibentang di Parlimen, kemungkinan tahun
depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Global
Ketiga Pertubuhan Sedunia bagi Kesihatan Haiwan (OIE) di ibunegara.
Noh berkata kini, pemilik
haiwan kesayangan di negara ini boleh mengambil pasport untuk haiwan peliharaan
masing-masing atas dasar sukarela.
"Buat masa sekarang,
pemilik yang ingin memiliki pasport bagi haiwan kesayangan mereka boleh
mendapatkannya di hospital veterinar dan klinik haiwan swasta berdaftar,"
katanya.
Di majlis itu, Noh juga
melancarkan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2012-2020, yang antara
lain bertujuan untuk memastikan kebajikan haiwan di negara ini dijaga sejajar
dengan undang-undang dan peraturan.
Garis panduan lengkap yang
digubal dalam pelan itu, termasuk pendekatan strategik ke arah membentuk
masyarakat penyayang yang prihatin tentang kebajikan haiwan.
Noh berkata kementerian
berkenaan berharap pelan itu menjadi ikutan negara yang menghadiri persidangan berkenaan.
Kira-kira 400 anggota
perwakilan dari 70 negara menghadiri persidangan itu.
Sementara itu, Noh berkata
kementerian berkenaan bersiap sedia menghadapi musim banjir dengan menyusun
pelbagai langkah yang diperlukan.
"Untuk isu pampasan
pertanian yang musnah semasa banjir, ianya akan diuruskan Majlis Keselamatan
Negara. Kita di peringkat kementerian berperanan untuk mengutip maklumat
mengenai mereka yang terlibat," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment