Sunday, 4 November 2012

PEKERJA ASING MAMPU RAIH RM2,000 SEBULAN



     
             
KEDUTAAN Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia akan terus bekerjasama dengan Kumpulan Felda dalam aspek pengurusan rakyat negara itu yang bekerja di ladang termasuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata kerjasama di antara Indonesia dan Malaysia itu juga adalah untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara bagi menyokong pembangunan ekonomi di negara ini.

Pihak kedutaan sentiasa ingin bekerjasama dengan Felda agar manfaatnya dinikmati bersama dengan mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin.

"Setiap pekerja dan majikan tentunya akan ada masalah, masalah ini kita selesaikan sebaik-baiknya jangan sampai yang sedikit ini (masalah) bisa membuat retak hubungan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita sempena kunjungannya ke Ladang Kumpulan Felda di Felda Wilayah Trolak di Trolak, malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Eksekutif Felda Global Ventures Holding Berhad, Datuk Khairil Anuar Aziz dan Atase Ketenagakerjaan KBRI Malaysia, Agus Triyanto.

Herman turut berterima kasih kepada Felda kerana menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia menjana pendapatan mereka di Trolak bagi menanggung kehidupan keluarga mereka.

"...saya rasa berbesar hati kerana di sini pekerja sudah diberi gaji yang tinggi selain diberikan bonus, saya harap sudilah kiranya Felda menaikkan dan meminimumkan gaji mereka tahun depan," katanya.

Mengenai kunjungannya ke sini, Herman berkata beliau mahu melihat sendiri keadaan pekerja-pekerja Indonesia yang bekerja di ladang serta memberi motivasi kepada mereka supaya menjalankan tugas sebaik mungkin.

Sementara itu, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad yakin dengan semangat serumpun, prestasi kerja 28,220 pekerja ladang Felda yang terdiri daripada warga Indonesia akan bertambah baik.

Mohd Isa berkata kesungguhan dan minat yang ditunjukkan duta besar itu melihat keadaan rakyat republik itu di sini merupakan usaha yang sangat baik dan beliau percaya ia merupakan satu daripada usaha untuk mengeratkan hubungan antara kedutaan dan Felda.

Berhubung gaji pekerja Indonesia, beliau berkata Felda meminimumkan gaji pekerjanya iaitu RM900 di semenanjung Malaysia serta RM800 di Sabah dan Sarawak dan ia juga melibatkan gaji pekerja-pekerja asing yang bekerja di ladang dan percaya mereka yang rajin bekerja boleh mencapai pendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Herman dan isteri Ratna Andarwaty bersama 86 delegasi dari Lombok dan Kedutaan Besar Repubik Indonesia itu turut menghadiri majlis makan malam mesra serumpun yang diserikan dengan pelbagai persembahan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment