Tuesday, 6 November 2012

PENDUDUK SEBATIK AKAN DAPAT JALAN RAYA





TAWAU: Seramai 1,200 penduduk dari empat kampung di Pulau Sebatik dekat sini bakal menikmati kemudahan jalan raya pada tahun hadapan sebaik siapnya Projek Jalan Gravel dari Kg. Sg. Pukul ke Kg. Pisak-Pisak.

Wakil Rakyat Sebatik, Haji Abdul Muis Picho, berkata projek jalan bernilai RM 1.74 juta hasil peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu kini sedang giat disiapkan.

Menurutnya, apabila projek berkenaan siap ia akan menjadi sejarah buat penduduk dari empat buah kampung iaitu Kg. Sungai Pukul, Kg. Pisak-Pisak, Kg. Lahat-Lahat dan Kg. Sungai Limau.

“Sebelum ini tiada jalan darat yang menghubungkan kampung-kampung terbabit melainkan laluan denai yang berlumpur ataupun laluan laut dan sungai,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak penyimpanan batu untuk pelaksanaan projek jalan berkenaan di pulau terbabit, baru-baru ini.

Katanya, pembinaan jalan raya itu juga dapat memudahkan murid-murid sekolah pergi ke sekolah mereka di Kg. Sungai Pukul dengan menggunakan kenderaan darat.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kemudahan ini dan kita berharap agar projek-projek pembangunan akan terus terlaksana di Pulau Sebatik,” katanya.

Terdahulu, Muis turut berkesempatan merasmikan Konvensyen Tabika Kemas di Kg. Sungai Pukul dan mengingatkan ibu bapa agar sentiasa menitik beratkan aspek pendidikan anak-anak.

“Pendidikan adalah harta paling berharga yang akan ditinggalkan ibu bapa kepada anak-anak, demi memastikan golongan itu memiliki masa depan yang cerah,’’katanya.

No comments:

Post a Comment