Oleh : AGNES TUGONG
KUCHING: Kerajaan negeri
menggambarkan Rang Undang-undang Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai hari ini adalah yang terbaik
kepada rakyat.
Menteri Perumahan merangkap
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata belanjawan
ini akan memberi fokus kepada soal pembangunan iaitu 70 peratus daripadanya
(belanjawan) yang akan memberi keselesaan kepada rakyat.
“Dua rang undang-undang akan
dibentangkan pada mesyuarat DUN kali ini yang berlangsung mulai esok (hari ini)
hingga 28 November ini.
“Pertama Rang Undang-undang
Belanjawan 2013 yang memberi gambaran terbaik dengan peruntukan besar untuk
sektor pembangunan dan Rang Undang-undang Civil List, iaitu kita akan memberi
peruntukan untuk menyelenggara tempat kediaman Tuan Yang Terutama (TYT),”
katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat pra-DUN di Ibu Pejabat Parti
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.
Mesyuarat tersebut
dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri oleh
barisan menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri muda serta wakil-wakil
rakyat BN dan parti komponen iaitu PRS, SPDP dan SUPP.
Ditanya lebih lanjut
mengenai rang undang-undang belanjawan yang akan dibentangkan kelak, Abang
Johari yang enggan mengulas lebih lanjut berkata butir-butir mengenai rang
undang-undang ini hanya akan diumumkan pada pembentangan kelak.
Jelasnya, terdapat sedikit
tambahan untuk belanjawan kali ini yang mana belanjawan kali ini disifatkan
oleh beliau sebagai belanjawan lebihan.
“Secara prinsipnya, belanjawan
kali ini adalah baik dan akan memberi keselesaan kepada rakyat secara keseluruhannya,”
katanya.
Dalam pada itu sebanyak 335
pertanyaan akan dikemukakan dan tiga usul diterima daripada pembangkang akan
dibentangkan pada mesyuarat DUN yang dijadual bermula hari ini.
Menyentuh mengenai
mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang berlangsung sebelah petang hari dan tempat
yang sama semalam, Abang Johari berkata ia adalah menyentuh kepada persediaan
menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). (UB)
No comments:
Post a Comment