Sunday, 11 November 2012

UMNO LABUAN KIAN TERDESAK?




TABAH.....Walau diganggu gugat dan diugut, namun generasi muda Labuan tetap tabah menghadapi saiwar politik yang dilancarkan UMNO tetap menyerahkan borang kemasukan dan penubuhan ranting di Markas PKR Labuan yang diterima oleh Ibrahim Menudin.


Salam hormat,

TINDAKAN UMNO Labuan yang menggunakan pelbagai cara untuk menghalang penubuhan Ranting (cawangan) PKR yang ketiga di Labuan jelas dilihat sebagai bukti akan hakikat UMNO Labuan yang kian terdesak.

Kejadian pada petang kelmarin membuktikan hakikat ini. Pembukaan Ranting PKR Sg Labu dijadualkan pada pukul 8 malam, 10 November 2012 bertempat di halaman sebuah rumah penduduk kampung tersebut.

Sekumpulan anak muda penduduk kampong Sg Labu terus cekal dan berazam untuk meneruskan program ini walaupun menempuh banyak halangan dan ugutan dari pelbagai pihak sejak beberapa hari yang lalu.

Namun, mereka akhirnya terpaksa akur dan mengalah dengan ugutan yang dibuat pada pukul 6 petang sebelum majlis tersebut dijadualkan. Ini disebabkan ugutan tersebut membabitkan bantuan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah diluluskan kepada seorang penduduk kampung tersebut yang merupakan nenek kepada seorang anak muda yang terlibat dalam program ini.

Apa yang lebih menyedihkan dan pada masa yang sama, amat memalukan kerana ugutan ini dibuat sendiri oleh beberapa Pemimpin Tertinggi UMNO Labuan.


Alternatif terakhir mereka untuk membatalkan program ini ialah dengan ugutan untuk menarik balik kelulusan bantuan PPRT kepada nenek tersebut. Secekal mana pun hati anak muda ini untuk meneruskan majlis ini akhirnya cair dengan rayuan dan linangan air mata nenek agar cucunya tidak meneruskan majlis tersebut.

Akhirnya, majlis ini dibatalkan walaupun persediaan akhir seperti penyediaan makanan, khemah,kerusi meja, penyediaan sistem audio dan sebagainya sudah lengkap dibuat.

Amat menyedihkan bila Pemimpin UMNO Labuan gagal mengikut arus peredaran zaman yang serba maju seperti pada hari ini. Mereka masih gagal menyedari akan hakikat bahawa gaji mereka dibayar oleh pembayar cukai dan pendapatan cukai Negara apabila dengan berani mengugut hak rakyat secara terang-terangan.

Demokrasi terpimpin adalah antara slogan-slogan manis yang digunakan oleh pemimpin UMNO dan BN bagi menghalalkan mereka mencabul kesucian demokrasi. Inilah demokrasi yang dibangga-banggakan oleh pemimpin Umno-BN di negara ini, konon ia adalah yang terbaik di dunia.

Apakah pemimpin ini sudah lupa daratan dan tidak sedar bahawa golongan pembayar cukai ini termasuk penyokong atau pembangkang kepada parti memerintah? Sebagai sebuah negara demokrasi, setiap individu itu ada hak untuk menyokong mana-mana parti di Malaysia ini.

Tindakan pemimpin seperti ini benar-benar menghina kebijaksanaan kita sebagai manusia dan tindakan terdesak ini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Inilah bukti yang memperlihatkan bagaimana UMNO Labuan tidak mampu berhadapan dengan lawan mereka secara bermaruah. Bagaimanakah Malaysia amnya dan Labuan khususnya boleh mengorak langkah ke arah sebuah demokrasi yang matang jika rakyat terus membiarkan pemimpin-pemimpin seperti ini berkuasa untuk mengurustadbir pulau ini?


Kasihan sungguh mereka yang berada di penghujung usia kuasa. Mereka ketandusan idea, kekurangan pemimpin berwibawa dan merendahkan akhlak sendiri dengan tindakan dan ugutan yang jelas kurang cerdik.

Kenapa perlu mereka menekan sesiapa sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat? Adakah ini satu amalan demokrasi yang sihat? Adakah konsep demokrasi tulen ini tidak difahami oleh para pemimpin UMNO Labuan atau sengaja tidak mahu memahaminya demi kepentingan periuk nasi mereka?

Demokrasi yang sebenar, yang memberi kebebasan memberi pendapat, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun telah menjadi suatu yang janggal kepada mereka dan tidak boleh dilaksanakan di Negara ini.

Mereka hanya boleh terima demokrasi ala UMNO dan BN sahaja. Bagi fahaman mereka demokrasi ialah mengundi UMNO dan BN dalam setiap pilihanraya dan Negara akan jadi huru-hara kalau parti pembangkang memerintah.

Negara kita semakin parah. Tidak cukup dengan segala usaha UMNO menguasai media, demokrasi di negara kita kian terhakis dan dicemari dengan idealogi dan dakyah halus UMNO.

UMNO ingin dilihat sebagai satu-satunya parti yang layak memerintah dan pembangkang digambarkan sebagai nyamuk yang sentiasa menganggu ketenteraman rakyat tanpa memberikan peluang pihak lain menjelaskan keadaan sebenar.

Hidup kita rakyat Malaysia kian tergugat disebabkan hakikat DEMOKARASI tulen kian hambar di bawah penguasaan UMNO. Tiada lagi badan, agensi hatta apa sekalipun kecuali suara keramat rakyat yang mampu menyedarkan UMNO dan memperbetulkan sistem yang telah rosak ini.

Bagaimanapun, kecekalan sekumpulan anak muda ini amat terserlah apabila nekad untuk meneruskan penubuhan Ranting PKR Sg Labu yang hanya dihadiri oleh AJK mereka dalam majlis yang serba ringkas di Markas PKR Labuan jam 9 malam tadi yang dirasmikan sendiri oleh Tan Sri Ibrahim Menudin.

Adalah diharapkan semangat anak muda ini akan menjadi inspirasi pembakar semangat kepada anak tempatan Labuan dalam perjuangan menuntut hak dan keadilan. Kami mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah untuk anak muda ini.
Salam Hormat,

PKR LABUAN

No comments:

Post a Comment