Saturday 16 March 2013

AMANAH SOKONG TUBUH RCI SIASAT PENGGANAS







Oleh : KREW SABAH KINI.NET

TUARAN : Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH) Kawasan Sulaman menyatakan sokongan penuh terhadap Kemungkinan Kerajaan Malaysia akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Pengerusi Amanah Kawasan Sulaman, Haji Ghulabdin Enjih dalam satu kenyataan di sini kelmarin, mengalu-alukan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu; termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

"Selaku rakyat di negeri ini, kita ingin agar siasatan lebih menyeluruh dilakukan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan siapakah dalang sebenarnya.

"Rakyat tidak ingin melihat beberapa pihak pimpinan politik kerajaan dan pembangkang yang saling menunding jari di antara mereka yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian," kata Haji Ghulabdin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN).

Haji Ghulabdin berkata sekiranya tuduhan-tuduhan tidak berasas yang mengaitkan pihak tertentu tarhadap punca pencerobohan ini berterusan, ia dibimbangi akan memberikan kesan yang tidak baik terhadap rakyat negara ini kerana mereka dikenali sebagai penduduk yang berbudi pekerti baik.

Sehubungan dengan menjaga hubungan baik di kalangan rakyat yang mempunyai fahaman politik berbeza; maka adalah amat perlu sekiranya cadangan menubuhkan RCI dan kertas putih untuk menyiasat insiden pencerbohan di Lahad Datu dapat disegerakan, tegas Haji Ghulabdin lagi.

Menurut Hishamuddin, beliau sendiripun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancangnya kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional.

"Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu kedudukan sebenar dan ini akan kami lakukan sama ada mengunakan RCI atau buka kertas putih," kata Hishammuddin pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan pada Khamis setelah mendengar taklimat berhubung situasi semasa di Sandakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong.

Haji Ghulabdin berkata sekiranya RCI dan kertas putih itu telah dilaksanakan kelak, maka adalah amat penting sekiranya hasil siasatan itu diberitahu atau didedahkan kepada rakyat bagi merungkai kebingungan umum terhadap tuduhan-tuduhan berniat jahat yang dilemparkan kepada mana-mana pihak yang berkenaan.

Beliau berkeyakinan yang kerajaan amat peka terhadap kegusaran rakyat terhadap pencerobohan yang dilakukan oleh orang luar sehingga mengorbankan beberapa perwira negara.

"Saya percaya sekiranya dalang yang bertanggung jawab terhadap insiden pencerobohan ini dapat dikesan, ia akan memberikan keyakinan lebih tinggi rakyat terhadap keseriusan kerajaan untuk memburu penjenayah tersebut," kata Haji Ghulabdin lagi.

No comments:

Post a Comment