SEMPORNA : Bilangan maklumat
yang disalurkan penduduk Semporna untuk membantu anggota keselamatan menjejaki
saki-baki militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dari Sulu
amat menggalakkan, kata Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis
Abdullah.
Mohd Firdaus berkata setiap
maklumat yang diterima akan disiasat dan diperiksa bagi memastikan
kesahihannya.
"Saya amat berterima
kasih kepada penduduk Semporna yang amat prihatin. Setakat ini maklumat yang
disampaikan cukup menggalakkan. Inilah satu kerjasama yang baik di antara polis
dan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Firdaus bagaimanapun
mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin kerana ia boleh
menimbulkan keresahan dan ketidaktentuan di kalangan masyarakat.
Beliau turut menasihatkan
orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan mengenai sesuatu maklumat
supaya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan pengesahan dan bukannya
menyebarkannya kepada orang lain.
"Cuma saya minta kepada
semua supaya jangan main-main (buat gurauan) ketika menyampaikan maklumat
kerana ia bukan sahaja menyusahkan polis tetapi juga rakyat," katanya.
Beliau mengulas khabar angin
kononnya berlaku tembak-menembak di SMK Abdullah dan SK Bubul di sini hari ini,
sehingga para pelajar diminta meninggalkan premis berkenaan.
Bagaimanapun pemeriksaan
polis kemudiannya mendapati maklumat itu tidak benar.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus
meminta penduduk yang tinggal berdekatan dengan kem-kem tentera atau pangkalan
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya tidak menceroboh kawasan larangan
berkenaan.
Katanya sekiranya penduduk
mempunyai urusan dengan pihak tentera, mereka perlu menggunakan laluan yang
disediakan dan tidak memasuki kawasan itu sewenang-wenangnya, bagi mengelak
sebarang perkara yang tidak diingini.
"Pada masa ini bila ada
kecurigaan sahaja, semua (anggota keselamatan) akan ambil perhatian penuh
tentang keselamatan. Jadi pihak tentera telah meminta saya sampaikan perkara
ini kepada orang awam," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment